AM

MOSTI Perkasa Program Sekolah Angkat MADANI, Fokus STI

26/08/2025 10:10 PM

KUALA LUMPUR, 26 Ogos (Bernama) -- Program Sekolah Angkat MADANI di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) akan memberi penekanan terhadap aspek Sains, Teknologi dan Inovasi (STI) bagi mempersiapkan generasi muda menghadapi cabaran serta peluang masa depan.

Ketua Setiausaha MOSTI, Datuk Seri Hasnol Zam Zam Ahmad berkata sebanyak 11 program dan projek dirancang dengan tumpuan kepada Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) serta literasi digital.

“Program ini berteraskan tiga komponen utama iaitu pembangunan kokurikulum, pembangunan prasarana dan pembangunan profesionalisme,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata pembangunan kokurikulum memberi fokus kepada penguasaan murid dalam bidang STEM, pengiktirafan kepada murid cemerlang serta intervensi kepada murid yang memerlukan perhatian.

“Aspek pembangunan prasarana pula melibatkan kerja baik pulih sekolah terlibat, manakala guru akan mengikuti program lawatan penanda aras bagi meningkatkan profesionalisme,” katanya.

Terdahulu, beliau merasmikan Majlis Peluncuran Sekolah Angkat MADANI MOSTI 2025 di Sekolah Kebangsaan (SK) Telok Gadong, Klang, Selangor yang dihadiri pegawai MOSTI, wakil kementerian, jabatan serta pemimpin komuniti setempat.

Pada majlis itu beliau turut menyerahkan mock cheque peruntukan kepada Guru Besar SK Telok Gadong, Suhaila Muner dan Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Muhammad Hafiz Bahari.

Pada majlis itu, MOSTI turut menyumbang Sudut STEM bernilai RM25,000 kepada pihak sekolah berkenaan bagi membolehkan pelajar mendekati dunia STEM dengan lebih menyeronokkan dan mudah difahami.

“Sudut ini diharap dapat menyemai rasa ingin tahu, menyalakan semangat pembelajaran sepanjang hayat serta memupuk minat kepada STEM bermula dari bangku sekolah,” katanya.

Hasnol Zam Zam juga meninjau projek Sekolah Angkat MADANI yang sedang dilaksanakan di sekolah itu sebagai tanda sokongan terhadap kejayaan inisiatif berkenaan.

Majlis itu turut dimeriahkan dengan Pertunjukan Sains dan Pameran Sains Bas Bergerak oleh Pusat Sains Negara, aktiviti Pencerapan Matahari oleh Planetarium Negara serta program outreach Techlympic bersama murid SK Telok Gadong.

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan