AM

PKNS Hargai Jasa, Sumbangan Petugas Cemerlang

26/08/2025 07:59 PM

SHAH ALAM, 26 Ogos (Bernama) -- Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) hari ini meraikan 66 petugasnya yang menunjukkan prestasi cemerlang sepanjang 2024 pada Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) PKNS 2025.  

Menurut PKNS daripada jumlah itu sebanyak 50 petugas menerima APC, manakala 16 lagi diberikan  Anugerah Khas Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan yang buat julung-julung kalinya diperkenalkan tahun ini.

Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari dalam ucapannya berkata PKNS sebagai antara penggerak ekonomi Selangor memainkan peranan penting dalam memastikan kemajuan yang mampan dan berdaya saing sesuai dengan kedudukannya sebagai antara negeri berpendapatan tinggi.

Sehubungan dengan itu, beliau berharap setiap warga kerja PKNS dapat melaksanakan pendekatan baharu dalam mendepani cabaran, khususnya membabitkan pembangunan dan tidak lagi terikat dengan kaedah lama supaya tidak berdepan kebuntuan demi memastikan pertumbuhan kemajuan yang konsisten.

"Bukan sahaja kepada para penerima anugerah, malah seluruh warga PKNS juga perlu terus berkhidmat dengan dedikasi dan memberikan komitmen demi kecemerlangan perkhidmatan. 

"Saya menaruh keyakinan penuh bahawa seluruh warga kerja PKNS akan terus berganding bahu memberikan perkhidmatan cemerlang, berintegriti sambil melaksanakan penambahbaikan berterusan demi melahirkan modal insan berkualiti untuk kesinambungan peranan agensi ini dan kemajuan negeri," kata beliau.

Untuk penerima APC masing-masing menerima sijil penghargaan, cek bernilai RM1,000 serta insentif prestasi bersamaan Kenaikan Gaji Tahunan (KGT) untuk tempoh setahun. 

Penerima Anugerah Khas Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan pula membawa pulang sijil penghargaan dan cek bernilai RM1,000 setiap seorang.

Majlis itu turut meraikan 30 petugas perkhidmatan lama yang telah berkhidmat selama 20, 25 dan 30 tahun, selain memberikan penghargaan kepada 13 pesara sebagai mengenang jasa mereka yang setia berkhidmat bersama PKNS. 

Penerima perkhidmatan lama menerima medalion emas, sijil simpanan premium Bank Simpanan Nasional (BSN) dan sijil penghargaan, manakala pesara membawa pulang medalion emas, sijil simpanan premium BSN, sijil penghargaan serta jam tangan.

Anugerah disampaikan Amirudin yang juga Pengerusi PKNS. Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PKNS Datuk Mahmud Abbas.

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan