EKONOMI

Maybank Terus Mencari Peluang Pertumbuhan Walaupun Suasana Mencabar  - Presiden/GCEO

26/08/2025 05:50 PM

KUALA LUMPUR, 26 Ogos (Bernama) -- Di sebalik persekitaran pasaran yang kurang memberangsangkan, Malayan Banking Bhd (Maybank) terus berusaha untuk mencari peluang pertumbuhan di seluruh segmen, kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan (GCEO) Datuk Seri Khairussaleh Ramli.

Maybank telah membuat semakan ke atas unjuran pinjaman serta margin faedah bersih (NIM), memangkas sasaran pertumbuhan pinjaman kumpulannya kepada 3.0 peratus bagi tahun kewangan berakhir pada 31 Disember 2025 berbanding jangkaan 5.0 hingga 6.0 peratus sebelum ini, mencerminkan pendirian yang lebih berhati-hati di kalangan pelanggannya, khususnya oleh pelanggan korporat, yang sedang mengambil pendekatan tunggu dan lihat.

"Di Malaysia dan Singapura, kami mungkin akan mengatasi pertumbuhan pinjaman industri, sambil terus mengimbangi portfolio kami di Indonesia," katanya semasa taklimat media untuk mengumumkan keputusan kewangan separuh pertama Maybank yang berakhir pada 30 Jun 2025 di sini hari ini.

Keuntungan bersih Maybank menokok kepada RM2.62 bilion menjelang suku kedua berakhir pada 30 Jun 2025 berbanding RM2.52 bilion yang disaksikan pada suku yang sama sebelum ini berikutan pendapatan yang lebih lemah sebanyak RM17.07 bilion pada suku yang ditinjau daripada RM17.17 bilion sebelumnya.

Pendapatan berasaskan dana bersih pula naik 1.2 peratus dari tahun ke tahun selepas pertumbuhan pinjaman menjadi perlahan kepada 0.8 peratus dari tahun ke tahun dan persekitaran kadar yang dikurangkan memberi impak kepada margin faedah bersih di luar negara.

Sementara itu, bank berkenaan mencatatkan pertumbuhan pinjaman dari tahun ke tarikh sebanyak  5.0 peratus di Malaysia, 4.0 peratus di Singapura dan menyaksikan penurunan di Indonesia pada 9.1 peratus.

Khairussaleh memberitahu portfolio Maybank dalam perusahaan-perusahaan milik negara di Indonesia telah menyumbang kepada keuntungan, manakala, kos deposit semakin mendatangkan cabaran.

"Daripada meningkatkan aset dan tidak menghasilkan wang, lebih baik kami melepaskan pinjaman," katanya, sambil menambah bahawa bank itu juga sedang melihat ke dalam kawasan pertumbuhan lain seperti konglomerat besar di Malaysia dan Singapura yang menjalankan perniagaan di Indonesia.

Sehingga separuh pertama tahun kewangan berakhir pada 30 Jun 2025, pertumbuhan pinjaman kumpulan Maybank berada pada paras 0.8 peratus. 

 Ditanya sama ada Maybank menjangkakan pemulihan yang signifikan dalam pertumbuhan pinjaman untuk separuh kedua tahun ini, Khairussaleh berkata bank itu melihat peluang dalam gadai janji, sewa beli, perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta segmen korporat bagi memacu pertumbuhan pinjaman di Malaysia dan Singapura. 

"Di Indonesia, kami yakin bahawa pelanggan yang masuk dari Malaysia dan Singapura akan menyumbang kepada pertumbuhan, selain peluang dalam PKS, gadai janji serta pembiayaan kenderaan," katanya lagi.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan