EKONOMI

RMK13: Pembuatan Bernilai Tinggi Penting Untuk Kekalkan Kedudukan Malaysia Sebagai Pengeksport Sarung Tangan Teratas - MARGMA

26/08/2025 12:18 PM

Oleh Danni Haizal Danial Donald

KUALA LUMPUR, 26 Ogos (Bernama) -- Kepimpinan global Malaysia dalam eksport sarung tangan getah dalam tempoh Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) bergantung pada penekanan yang berterusan terhadap pembaharuan pembuatan, pendigitalan, kemampanan dan pasaran buruh bernilai tinggi.

Persatuan Pengeluar Sarung Tangan Getah Malaysia (MARGMA) berkata ia adalah juga penting bagi kerajaan untuk mewujudkan perjanjian perdagangan antara kerajaan dengan kerajaan (G2G) untuk mendapatkan akses keutamaan kepada pasaran eksport utama dalam persekitaran yang semakin meningkat dan disruptif perdagangan akibat tarif.

Presiden Margma Oon Kim Hung memberitahu Bernama pelan itu juga harus mengandungi strategi untuk mengubah sektor itu menjadi lebih mampan dengan proses pembuatan dipacu teknologi.

"Ini akan membolehkan sektor itu terus menyumbang dengan ketara kepada ekonomi negara dan pertumbuhan eksport," katanya ketika mengulas mengenai RMK-13 yang diumumkan kerajaan baru-baru ini.

Oon berkata objektif itu boleh dicapai melalui pelaksanaan yang berkesan dan kerjasama erat antara kerajaan dan industri.

Tahun lepas, Malaysia mengeksport RM15.41 bilion sarung tangan getah atau 45.8 peratus daripada produk getah untuk tahun berkenaan dengan pasaran utama ialah Amerika Syarikat (AS), Jerman, Jepun, United Kingdom, China dan Indonesia.

Jumlah keluaran getah dan berasaskan getah berjumlah RM33.7 bilion tahun lepas.

“RMK-13 membentangkan pendekatan seimbang antara pertumbuhan ekonomi dan pembinaan negara dengan keutamaan seiring dengan keperluan jangka panjang industri sarung tangan getah Malaysia.

“Kami mengalu-alukan tumpuan pada pembuatan bernilai tinggi, pendigitalan, kemampanan dan pembaharuan pasaran buruh, kerana ini adalah tonggak penting bagi peneraju global berterusan sektor kami,” katanya.

Beliau berkata pelaburan berterusan adalah penting untuk masa depan yang mampan dengan penggiat industri secara kolektif melabur untuk terus komited pada laluan tersebut.

“Menyepadukan kemampanan ke dalam amalan perniagaan teras merupakan tumpuan utama bagi ahli kami untuk menangani kebimbangan alam sekitar, mengurangkan jejak karbon kami dan memenuhi jangkaan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) yang semakin meningkat.

"Ini termasuk pembuatan mesra alam, amalan ekonomi bulat, pengurangan sisa dan langkah kecekapan tenaga, sejajar dengan matlamat ekonomi hijau RMK-13 seperti pembangunan pasaran karbon dan tanggungjawab pengeluar yang diperluaskan," katanya.

 

Pensijilan getah diperkukuh

Oon berkata persatuan itu memuji komitmen kerajaan di bawah RMK-13 untuk mengukuhkan piawaian pensijilan kemampanan tempatan bagi getah, selaras dengan liabt urus berterusannya dengan inisiatif getah asli kemampanan Malaysia (MSNR).

Beliau berkata MSNR dibina berdasarkan prinsip tiada penebangan hutan, penanaman tanah yang sah, penjagaan alam sekitar, pematuhan sosial dan kebolehkesanan rantaian bekalan penuh.

Rangka kerja itu telah pun membuahkan hasil dengan eksport pertama getah patuh MSNR Malaysia ke Kesatuan Eropah pada Disember 2024, katanya.

Beliau berkata Margma secara konsisten menyokong piawaian pensijilan yang kukuh untuk membantu penggiat industri tempatan mengukuhkan pembezaan pasaran mereka.

“Ini termasuk penubuhan piawaian umum Malaysia untuk sarung tangan getah, merangkumi bidang seperti penilaian kitaran hayat, keadaan buruh dan pematuhan sosial.

“Sehubungan itu, kerjasama dengan pihak berkepentingan adalah penting untuk meningkatkan kebolehkesanan dan pensijilan merentas rantaian bekalan,” kata Oon.

 

Program tanam semula getah

Oon berkata rancangan kerajaan untuk meningkatkan program penanaman semula getah akan meningkatkan hasil, kualiti dan kemampanan bekalan getah asli Malaysia.

Beliau berkata ia boleh dilakukan dengan memperkenalkan klon hasil tinggi, kalis penyakit dan mengamalkan pengurusan tanah yang mampan sejak awal.

“Pelan itu akan mendapatkan asas bahan mentah stabil dan bertanggungjawab untuk industri hiliran seperti sarung tangan getah, mengurangkan pergantungan kepada import serta meningkatkan daya saing Malaysia dalam pasaran global.

“Kami percaya program ini boleh memulihkan kelebihan daya saing Malaysia, meletakkan Malaysia setanding dengan negara pengeksport getah terkemuka seperti Thailand,” kata Oon.

Bagaimanapun, beliau berkata Malaysia mesti memaksimumkan impaknya dan melengkapkan penanam dengan keupayaan pertanian moden untuk meningkatkan kualiti penuaian dan hasil kerana tanpa ini, faedah risiko penanaman semula kurang digunakan.

“Kami menggesa supaya program itu digandingkan dengan pelaburan tinggi dalam automasi, pendigitalan dan pengurusan perladangan dipacu kecerdasan buatan untuk meningkatkan lagi kecekapan dan mengurangkan pergantungan kepada buruh.

“Memanfaatkan teknologi seperti pemantauan perladangan digital dan kebolehkesanan rantaian bekalan juga boleh menyokong pematuhan ESG, meningkatkan ketelusan dan membuka peluang eksport baharu,” katanya.

 

Bidang utama untuk diperbaiki

MARGMA juga menggesa kerajaan menerusi Kementerian Perladangan dan Komoditi untuk mewujudkan perjanjian perdagangan G2G untuk mendapatkan akses pasaran keutamaan kerana ia penting ke arah mengukuhkan akses pasaran global.

“Melalui G2G, kita boleh mengurangkan halangan tarif dan bukan tarif dan memastikan produk getah Malaysia terutamanya sarung tangan perubatan, kekal berdaya saing dalam pasaran utama seperti AS, Kesatuan Eropah dan ekonomi sedang pesat membangun.

“Ini amat penting kerana sektor kita (Malaysia) kini sedang menghadapi peningkatan kos, gangguan rantaian bekalan, kekurangan tenaga kerja, kenaikan harga elektrik, tarif baharu AS dan persaingan sengit dari China,” katanya.

Beliau berkata kerajaan harus meningkatkan penyelidikan dan pembangunan (R&D) dan kepelbagaian produk yang akan membantu pemain industri beralih ke produk bernilai tinggi, khusus seperti peranti perubatan canggih, sarung tangan industri dan alternatif mesra alam.

“Mengukuhkan kerjasama dalam kalangan kerajaan, institusi penyelidikan dan pemain industri akan mempercepatkan lagi inovasi ini,” tambahnya.

Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini berkata kerajaan akan menumpukan pada peningkatan produktiviti dalam sektor komoditi pertanian iaitu minyak sawit, getah, dan koko menerusi penggunaan teknologi moden seperti mekanisasi, automasi, robotik, serta melalui usaha R&D.

Di bawah RMK-13, program penanaman semula komoditi pertanian khususnya untuk pekebun kecil kelapa sawit dan getah akan diperluas untuk meningkatkan produktiviti, meningkatkan pendapatan pekebun kecil, dan meningkatkan nilai eksport negara.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan