SUKAN

Qabil Irfan, Wira Cilik Julang Jalur Gemilang Di Pentas Permotoran Dunia

26/08/2025 11:32 AM

Oleh Balqis Jamaludin

KUALA TERENGGANU, 26 Ogos (Bernama) -- Meskipun baharu berusia 13 tahun, pelumba cilik Qabil Irfan Azlan bersemangat untuk memahat nama Malaysia, sekali gus mencetuskan fenomena luar biasa dalam arena permotoran antarabangsa.

Anak jati Kuala Terengganu itu melakar pelbagai kejayaan sebelum mencipta detik penuh kebanggaan apabila Jalur Gemilang berkibaran dan lagu Negaraku berkumandang megah di bumi Eropah. 

Juara dunia MiniGP 2023 bagi kategori 160cc itu berkata setiap kemenangan dalam perlumbaan antarabangsa terutama di Sepanyol dan Portugal, yang menjadi pusat perlumbaan motosikal bertaraf dunia adalah hadiah daripadanya kepada negara tercinta. 

“Saya mula menaiki podium antarabangsa sejak berusia 10 tahun. Rasanya, lebih 20 kali saya menaiki podium. Memang sangat bangga kerana setiap kali menang badan saya akan diselimutkan dengan Jalur Gemilang dan lagu Negaraku bergema di seluruh litar.

“Apabila lagu Negaraku dimainkan, saya akan menyanyi sekuat hati kerana terharu dan gembira dapat menyanyikan lagu keramat itu di luar negara,” katanya, yang mewakili pasukan Frando Racing VHC Team Liqui Moly semasa ditemui Bernama di rumahnya di Kampung Ladang di sini baru-baru ini.

Pelumba di bawah naungan dan bimbingan ZK Racing itu bertekad untuk menjuarai perlumbaan pada pusingan kelima Kejuaraan Superbike Sepanyol (ESBK) 2025 yang berlangsung pada 29 hingga 31 Ogos di Litar Navarra, Sepanyol sebagai hadiah Hari Kebangsaan kepada seluruh rakyat Malaysia. 

Setakat ini, Qabil Irfan mengungguli carta kategori ESBK Talent dengan mengumpul 173 mata daripada lapan perlumbaan, diikuti pencabarnya Izan Rodriguez dari Sepanyol di tempat kedua (124 mata) dan Alessio Arnold dari Switzerland di tempat ketiga (120 mata).

Mula menjinakkan diri dalam dunia permotoran sejak berusia empat tahun, Qabil Irfan kini menjadi pelumba muda yang disegani setelah membuktikan kemampuannya menewaskan beberapa pelumba terkemuka termasuk Rodriguez yang juga juara dunia MiniGP 2021.

Menyingkap kehidupan sehariannya, Qabil Irfan berkata setiap tahun dia akan ‘terbang’ ke luar negara antara lima hingga tujuh kali bagi menyertai kejohanan ESBK yang berprestij itu.

Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Sulaiman itu berkata situasi berkenaan menyebabkan dia tidak dapat hadir ke sekolah sekitar seminggu atau dua minggu setiap kali menyertai perlumbaan, namun pihak sekolah amat memahami komitmen pelumba bertubuh kecil berkenaan.

Qabil Irfan yang dinobatkan sebagai juara keseluruhan FIM MiniGP Malaysia 2025 bagi Kategori 190cc pada 10 Ogos lepas turut bersyukur kerana guru-guru dan rakan-rakan sudi membantunya mengulang kaji pelajaran sepanjang di sekolah.  

Seperti kata pepatah ‘yang bulat tidak datang bergolek, yang pipih tidak datang melayang’, Qabil Irfan mengakui banyak perkara yang perlu dikorbankan untuk meraih kejayaan, namun minat yang mendalam terhadap sukan itu mendorongnya untuk berlatih sejak berusia empat tahun di Litar Permotoran Gong Badak di Kuala Nerus bersama ayahnya Azlan Abdul Rahman yang juga jurulatih pertamanya.

Sehingga kini, anak didik bekas pelumba negara Zulfahmi Khairuddin itu berlatih di litar berkenaan selama satu hingga dua jam setiap petang dan menyiapkan kerja rumah serta mengulang kaji pelajaran pada waktu malam.

Bagi bapa kepada jaguh cilik itu, Azlan, 49, dan isteri Tuan Zarina Tuan Yusof, 39, mereka sentiasa menyokong minat Qabil Irfan walaupun menyedari dunia yang diceburi itu berisiko tinggi.

“Saya masih ingat semasa Qabil Irfan baru berumur empat tahun, dia terlibat dalam kemalangan ketika berlatih di litar di Gong Badak. Motosikalnya rosak agak teruk, walaupun dia tidak mengalami sebarang kecederaan, namun mukanya pucat sehingga menjadi ‘biru’ kerana terkejut dengan kejadian itu.

“Namun selepas kemalangan itu, dia bukan sahaja tidak trauma malah semangatnya semakin berkobar untuk terus berlatih. Sejak itu, saya mula menyedari dia betul-betul meminati bidang ini. Jadi, saya terus memberikan sokongan,” kata Azlan yang sentiasa berada di sisi Qabil Irfan termasuk di luar negara.

Azlan yang memiliki bengkel motosikal berkata meskipun banyak masa, tenaga dan wang ringgit telah dikeluarkan, namun dia berasa puas dan bersyukur kerana anak kedua daripada empat beradik itu berjaya mengharumkan nama Malaysia dalam dunia permotoran.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan