SHAH ALAM, 25 Ogos (Bernama) -- KFC Malaysia mewarnai Sambutan Hari Kebangsaan 2025 menerusi penampilan 14 mural unik di outlet terpilih seluruh negara dengan mengetengahkan bakat pelukis tempatan dalam menyemarakkan lagi semangat dan kemerdekaan tahun ini.
Ketua Pegawai Pemasaran KFC Malaysia Hanim Mazam berkata mural bertemakan ‘KFC Cara Kita’ itu dihasilkan oleh 11 pelukis tempatan yang menzahirkan interpretasi mereka terhadap semangat kebersamaan dan kenangan bersama rakyat Malaysia.
“Bagi KFC, kita sudah berada di Malaysia selama 52 tahun sejak 1973. Jadi, banyak momen-momen bersama rakyat Malaysia daripada sekecil-kecil peristiwa hingga besar kami sentiasa bersama rakyat Malaysia, dan bagi kami KFC telah banyak bantu untuk merapatkan lagi silaturahim antara rakan dan keluarga.
“... jadi di situlah pentingnya untuk kami memaparkan ekspresi-ekpresi ini dalam bentuk seni, dan mural-mural ini adalah ekspresi setiap artis dengan momen mereka sendiri bersama KFC. Ia diterjemahkan semula supaya setiap daripada kita dapat menghayatinya bersama,” katanya ketika ditemui selepas sesi penerangan media bersama KFC Malaysia di sini hari ini.
Turut hadir pelukis-pelukis mural berkenaan iaitu Katun, Nas Suha, Bingka KL dan Haw.
Hanim berkata mural yang dilukis di 14 outlet terpilih di setiap negeri adalah sebagai simbolik kepada 14 negeri di Malaysia serta 14 jalur dan bucu Jalur Gemilang, sekali gus mengukuhkan lagi penghormatan kempen itu kepada Malaysia.
“Kami mahu setiap negeri di Malaysia ada platform untuk kami memaparkan seni daripada pelukis tempatan ini, dan outlet-outlet yang dipilih ini mempunyai kunjungan yang ramai dan ‘kanvas’ (ruang) untuk lukisan dan telah lama bertapak di komuniti sekitar. Jadi, kita ingin menyerikan lagi outlet-outlet ini,” katanya.
Hanim berkata selain daripada ekspresi seni sempena Sambutan Hari Kebangsaan 2025, orang ramai juga berpeluang memiliki karya berkenaan menerusi Touch 'n Go Charm edisi terhad hasil rekaan Bingka KL yang boleh didapatkan secara eksklusif menerusi aplikasi KFC di cawangan terpilih.
Sementara itu, Katun atau nama sebenarnya Abdul Hafiz Abdul Rahman berkata muralnya yang dipamerkan di KFC Raja Laut, Kuala Lumpur dan KFC Wisma Gerakan, Negeri Sembilan diinspirasikan daripada kehadiran jenama itu dengan persekitarannya ketika membesar.
“Semasa saya bersekolah, saya gemar bermain papan selaju dan jika ingin ke skate park akan melalui KFC berdekatan rumah saya, saya boleh nampak rakan sedang dating atau keluarga makan bersama-sama, dan idea tentang kebersamaan itu saya terapkan dalam mural ini,” katanya.
Adrihana Rashid iaitu pelukis Bingka KL berkata beliau memilih untuk menerapkan motif piknik dengan paduan warna lembut yang boleh dilihat di KFC Taiping Lake Garden, Perak dan KFC Setia Tropika, Johor.
Beliau berkata pemilihan motif mural yang turut memaparkan kuih tempatan itu antaranya bagi menggambarkan KFC sebagai antara makanan pilihan rakyat Malaysia ketika berkumpul di samping makanan tempatan.
Outlet-outlet lain yang terlibat ialah KFC Shah Alam Seksyen 2 di Selangor, KFC Petron Dungun Southbound (Terengganu), KFC Ranau (Sabah) dan KFC Kangar Jaya (Perlis).
Turut serta adalah KFC Metrocity (Sarawak), KFC Sungai Udang (Melaka), KFC Palm Beach Teluk Cempedak (Pahang), KFC Bandar Puteri Jaya (Kedah), KFC Stadium Kota Bharu (Kelantan) dan KFC Setia Sentral Juru (Pulau Pinang).
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial