AM

RMK13: Penggunaan Teknologi Pacu Transformasi Ekonomi

25/08/2025 06:18 PM

KUALA LUMPUR, 25 Ogos (Bernama) -- Penggunaan teknologi menjadi antara tumpuan perbahasan di Dewan Negara hari ini, susulan pembentangan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) yang dilihat sebagai pemacu utama melonjakkan daya saing negara menjelang 2030.

Senator Datuk Ros Suryati Alang berkata RMK13 yang bertemakan ‘Melakar Semula Pembangunan’  bukan sahaja menekankan pertumbuhan ekonomi berasaskan prinsip Malaysia MADANI, malah membuka ruang luas kepada transformasi digital, kecerdasan buatan (AI), automasi dan teknologi hijau bagi melonjakkan daya saing negara.

“Penggunaan dron, Internet benda (IoT), analitik data besar dan bioteknologi bukan lagi pilihan tetapi satu keperluan. Langkah ini akan meningkatkan produktiviti, mengurangkan kebergantungan kepada buruh asing dan menjadikan industri sawit lebih mampan serta berdaya saing,” katanya ketika membahaskan usul berkenaan.

Beliau berkata teknologi itu bukan sahaja memberi impak kepada industri sawit dan pertanian, tetapi juga membuka ruang baharu kepada sektor ekonomi lain termasuk pembangunan bandar pintar dan logistik.

Senada dengan itu, Senator Datuk Ahmad Ibrahim turut mencadangkan kerajaan agar memperuntukkan dana khas di bawah RMK13 bagi memperkasakan keupayaan kawalan perairan dan sempadan negara melalui penggunaan teknologi dron pintar.

Beliau berkata pendekatan itu bukan sahaja mampu meningkatkan keberkesanan pemantauan kawasan berisiko, malah dapat menjamin kedaulatan negara daripada anasir pencerobohan dan jenayah rentas sempadan.

Dron kini berperanan besar dalam sistem pertahanan moden dan mampu melaksanakan pemantauan secara lebih menyeluruh serta berterusan tanpa perlu melibatkan kehadiran fizikal pasukan keselamatan secara langsung di kawasan terpencil.

Sementara itu, Senator Datuk Seri S. Vell Paari turut menyarankan supaya kerajaan memperuntukkan dana khas dalam RMK13 bagi memperkasakan teknologi kesihatan, khususnya dalam bidang realiti maya (VR), sebagai antara langkah reformasi sistem penjagaan kesihatan negara.

Beliau berkata teknologi VR kini menjadi antara inovasi utama dalam sektor perubatan global dengan penggunaannya semakin meluas di hospital di Amerika Syarikat bagi rawatan trauma, terapi fizikal dan latihan pembedahan.

“Dunia kini melihat kebangkitan teknologi VR dalam sektor perubatan. Kerajaan perlu beri perhatian hal ini. Malaysia tidak boleh ketinggalan. RMK13 mesti memperuntukkan dana khas bagi VR Healthcare Innovation agar rakyat dapat menikmati manfaat teknologi ini,” katanya.

Vell Paari turut memetik laporan South Florida Business Journal pada Ogos 2025 yang menunjukkan teknologi VR bukan sahaja mempercepat rawatan trauma, malah membantu mengurangkan kos rawatan dan meningkatkan keberkesanan latihan perubatan.

Persidangan bersambung esok.

-- BERNAMA

 

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan