AM

Peruntukan Tambahan RM100 Juta Tumpu Proses Pembangunan Semula Gaza - Fahmi

25/08/2025 12:18 PM

PUTRAJAYA, 25 Ogos (Bernama) -- Peruntukan tambahan RM100 juta bagi membantu rakyat Palestin di Gaza akan memberi tumpuan kepada proses pembangunan semula wilayah itu yang terkesan akibat perang genosid Israel, kata Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil.

Beliau berkata pendekatan sumbangan kali ini berbeza berbanding sebelum ini yang lebih menumpukan kepada bantuan makanan.

“Dua tahun lepas, sekitar Oktober dan November 2023, kita berjaya mengusahakan sumbangan bersama pihak swasta, bagaimanapun banyak bekalan makanan yang disediakan terbazir akibat sekatan rejim Zionis yang langsung tidak membenarkan kemasukan (bantuan) ke Gaza.

“Kali ini fokusnya mungkin berbeza iaitu ke arah usaha membangunkan semula Gaza dan saya percaya ia boleh dilakukan dengan kerjasama rakan antarabangsa termasuk Jepun,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Perhimpunan Bulanan Kementerian Komunikasi di sini hari ini.

Turut hadir pada majlis itu, Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Datuk Seri Mohamad Fauzi Md Isa dan Ketua Pengarang Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Arul Rajoo Durar Raj.

Fahmi berkata kerajaan memberikan jaminan bahawa komitmen Malaysia terhadap perjuangan Palestin tidak berubah, malah diperkukuh dengan pemberian dana tambahan itu.

“Saya juga ingin menegaskan bahawa pendirian Malaysia tentang kemerdekaan Palestin tidak berubah dan tidak ada prasyarat, ia tidak bergantung kepada keadaan,” katanya.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika berucap pada Malam Himpunan dan Selawat Malaysiaku Bersama Gaza di Dataran Merdeka, malam tadi mengumumkan Kerajaan MADANI meluluskan peruntukan tambahan RM100 juta bagi membantu rakyat Palestin di Gaza yang sedang menghadapi krisis kemanusiaan.

Anwar yang juga Menteri Kewangan menegaskan ia merupakan komitmen berterusan Malaysia dalam membela nasib rakyat Palestin.

Perdana Menteri turut menggesa lebih banyak syarikat besar dan korporat menyalurkan bantuan kepada rakyat Palestin selain belajar daripada nikmat keamanan serta kebebasan yang dikecapi untuk membantu mereka yang dalam kesusahan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan