AM

Kompaun Khas RM150: JPJ Kutip Lebih RM101 Juta Saman Tertunggak

24/08/2025 04:36 PM

MACHANG, 24 Ogos (Bernama) -- Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) berjaya mengutip lebih RM101 juta saman tertunggak hasil inisiatif tawaran kompaun khas kadar rata RM150 sejak awal Januari lepas hingga kini.

Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan dan Operasi) JPJ Datuk Jazmanie Shafawi berkata kompaun khas itu melibatkan tiga jenis kesalahan iaitu Saman Sistem Keselamatan Kesedaran Automatik (AwAS) [53A], Notis Temu Siasat (114) dan Notis Saman Tampal/JPJ(P)23 (115).

“Bagi saman AwAS sebanyak 635,294 notis dikeluarkan dengan kutipan lebih RM95.3 juta, manakala Notis 114 melibatkan 35,183 notis (RM5.29 juta) dan Notis 115 berjumlah 8,266 notis dengan kutipan lebih RM1.23 juta,” katanya.

Beliau berkata pada sidang media selepas menyerahkan Jalur Gemilang serta topi keledar sempena Program Semarak Kemerdekaan 2025 bersama Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan JPJ Kelantan di Stesen Penguatkuasa Labok di sini hari ini.

Mengulas mengenai program itu, Jazmanie berkata JPJ bukan sahaja memastikan undang-undang jalan raya dipatuhi, malah bertanggungjawab menyampaikan mesej kepentingan disiplin, keselamatan dan patriotisme kepada masyarakat.

“Program ini bertujuan menyemarakkan semangat patriotisme, memupuk rasa cintakan negara, serta mengukuhkan kerjasama dengan MKN dalam melaksanakan pendekatan bersepadu dari aspek keselamatan dan kenegaraan.

“Kita mahu mengajak semua pengguna jalan raya mengibarkan Jalur Gemilang dengan penuh rasa bangga dan cinta kepada negara,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan