AM

Masakan Malaysia Dinobat Pilihan Nombor Satu Di Osaka World Expo 2025

24/08/2025 04:15 PM

KUALA LUMPUR, 24 Ogos (Bernama) -- Masakan Malaysia diiktiraf sebagai pilihan paling popular dalam kalangan pelawat Osaka World Expo 2025, selepas mengungguli carta tinjauan khas Expo Gourmet yang dijalankan oleh Yomiuri TV, sebuah stesen penyiaran utama Jepun.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz ketika berkongsi perkara itu berkata pengiktirafan tersebut, merupakan satu kejayaan besar memandangkan penilaian dilakukan oleh pengunjung tetap ekspo itu yang telah mencuba pelbagai hidangan antarabangsa.

“Pencapaian ini amat bermakna kerana tinjauan dibuat dalam kalangan pemegang pas musim Expo 2025, jadi mereka ini memang selalu menikmati hidangan di Expo 2025, bukan sekadar pelawat yang datang sekali sahaja.

“Ini bukti keunikan dan kehebatan masakan serta hospitaliti Malaysia di mata dunia,” katanya dalam hantaran tersebut.

Sementara itu, Australia berada di tempat kedua manakala tempat ketiga dikongsi oleh Arab Saudi, Jerman dan Perancis.

Tengku Zafrul turut menyatakan penghargaan kepada seluruh pasukan Pavilion Malaysia, atas dedikasi dan komitmen mereka dalam memastikan kejayaan penyertaan negara di ekspo berprestij itu.

Lebih istimewa, Tengku Zafrul berkata hampir 1,500 keping roti canai dijual setiap hari di Pavilion Malaysia sepanjang ekspo tersebut berlangsung.

“Walaupun harganya mencecah RM50 sekeping, ramai pengunjung sanggup beratur sehingga dua jam semata-mata untuk rasa roti canai kita,” katanya.

Selain menawarkan keunikan masakan tempatan, Pavilion Malaysia yang diinspirasikan daripada motif songket, turut mempamerkan kepelbagaian budaya negara melalui persembahan seni.

“Pavilion Malaysia kini telah berjaya menarik lebih 2.2 juta pengunjung, jauh melebihi sasaran asal iaitu 1.5 juta pengunjung dan berjaya menjana potensi pelaburan bernilai lebih RM11 bilion,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan