AM

Gempa Bumi: Kerajaan Johor Saran Masjid, Surau Anjur Solat Hajat

24/08/2025 03:02 PM

JOHOR BAHRU, 24 Ogos (Bernama) -- Kerajaan Johor menyarankan semua masjid dan surau di negeri ini menganjurkan majlis doa selamat serta solat hajat berikutan kejadian gempa bumi kecil yang melanda Segamat, pagi tadi.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam negeri Mohd Fared Mohd Khalid berkata arahan itu telah disampaikan kepada Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) bagi menggerakkan inisiatif tersebut demi memohon keselamatan dan kesejahteraan berterusan kepada rakyat serta negeri.

“Berikutan gempa kecil di Segamat, saya telah mengarahkan JAINJ agar menyarankan penganjuran doa selamat dan solat hajat di masjid serta surau di seluruh negeri. Kita berdoa agar Allah memelihara keselamatan rakyat dan negeri ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau turut menyeru umat Islam di negeri ini agar bersama-sama memperbanyakkan doa serta memohon perlindungan daripada sebarang musibah dan bencana.

Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengesahkan gempa bumi lemah berlaku di Segamat pada 6.13 pagi tadi dengan kekuatan magnitud 4.1, disusuli gegaran lemah kedua pada 9 pagi di 28 kilometer (km) Barat Laut Kluang dengan magnitud 2.8 pada kedalaman 10km.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan