MUAR, 23 Ogos (Bernama) -- Seorang pemandu lori maut dalam kemalangan membabitkan 12 kenderaan di KM129.9 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah selatan di sini, pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Muar ACP Raiz Mukhliz Azman Aziz berkata lelaki berusia 39 tahun itu mengalami kecederaan dalaman bahagian badan akibat perlanggaran sesama sendiri 12 kenderaan terbabit dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Beliau berkata pihaknya menerima laporan berhubung insiden itu pada 7.30 pagi yang melibatkan enam lori, lima kereta dan sebuah van.
"Siasatan awal mendapati kejadian berlaku apabila sebuah lori yang dipandu oleh seorang lelaki tempatan berusia 48 tahun mengalami kerosakan dan berhenti di lorong kecemasan di bahagian kiri lebuh raya.
“Ketika berhenti, lori berkenaan telah mengeluarkan asap sehingga menghalang penglihatan pemandu lain yang kemudiannya menyebabkan kenderaan lain yang berada di laluan itu berlanggar sesama sendiri," katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata enam pemandu cedera ringan manakala yang lain tidak mengalami kecederaan.
Katanya ujian air kencing terhadap pemandu lori rosak itu tidak mengesan apa-apa bahan yang menyalahi undang-undang dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial