AM

J-KOM Sedia Jadi Perantara Sebar Luas Projek Pembangunan Johor

23/08/2025 08:36 PM

MUAR, 23 Ogos (Bernama) -- Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM) bersedia menjadi perantara dalam membantu kerajaan Johor menghebahkan projek pembangunan negeri kepada rakyat menerusi pelbagai platform media, termasuk media sosial.

Ketua Pengarahnya Datuk Ismail Yusop berkata pendekatan hebahan pada masa kini berbeza berbanding dahulu yang hanya tertumpu kepada media tradisional, dengan tumpuan kini lebih diberikan kepada media sosial bagi mendekati golongan muda.

“Hebahan pembangunan ini adalah tanggungjawab J-KOM. Jika media arus perdana dilaksanakan oleh Jabatan Penerangan, Bernama dan agensi lain, maka media sosial menjadi fokus kami,” katanya kepada Bernama selepas perasmian Program Jauhar MADANI di Tunku Mahkota Ismail Youth Centre (TMIYC) Muar, di sini, hari ini.

Program itu dirasmikan Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi Negeri Johor Mohamad Fazli Mohamad Salleh dan turut dihadiri Pegawai Daerah Muar Zainal Eran.

Menurut Ismail, platform utama yang digunakan J-KOM kini ialah Facebook, X (Twitter), TikTok, Instagram dan podcast, selain perancangan untuk mewujudkan kumpulan WhatsApp dan Telegram di peringkat daerah bagi memperluaskan capaian hebahan.

Beliau berkata J-KOM ditubuhkan bagi membantu kementerian, kerajaan negeri dan agensi berkaitan memastikan dasar serta projek pembangunan yang dilaksanakan sampai kepada setiap lapisan masyarakat termasuk di peringkat akar umbi.

Terdahulu, Mohamad Fazli dalam ucapannya meminta kerjasama J-KOM untuk memperluaskan hebahan mengenai projek serta aktiviti pembangunan supaya rakyat negeri Johor mendapat maklumat terkini.

Program Jauhar MADANI yang dianjurkan J-KOM sempena Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2025 itu menampilkan pelbagai pengisian termasuk pertandingan pakaian beragam, pakaian inovatif Malaysia MADANI dan pelepasan acara Treasure Hunt Jauhar MADANI.

Turut diadakan ialah sesi interaktif Kempen Internet Selamat oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), pertandingan School Got Talent serta pertandingan mewarna.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan