AM

PERKESO Lancar Penjenamaan Lindung Untuk Perkukuh Perlindungan Pekerja

22/08/2025 11:31 PM

KUALA LUMPUR, 22 Ogos (Bernama) -- Penjenamaan semula skim Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) kepada konsep ‘LINDUNG’ merupakan usaha Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) untuk menampilkan identiti lebih jelas skim itu dan mudah difahami rakyat dalam melindungi kebajikan pekerja.

Menteri Sumber Manusia Steven Sim berkata pendekatan itu lahir daripada tekad KESUMA untuk mengangkat martabat pekerja dengan menjadikan PERKESO sebagai perisai utama yang melindungi mereka melalui pelbagai skim dan manfaat.

“Tekad KESUMA, kita berjuang untuk mengangkat martabat pekerja dan tekad kita adalah menjadi perisai yang akan melindungi para pekerja di Malaysia,” katanya pada Majlis Gala Pelancaran Rasmi Penjenamaan LINDUNG di sini hari ini.

Beliau berkata penjenamaan baharu itu merangkumi pelbagai inisiatif di bawah PERKESO seperti  ‘LINDUNG Pekerja’ bagi Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 dan ‘LINDUNG Kerjaya’ untuk Akta Sistem Insurans Pekerjaan 2017.

Selain itu, ‘LINDUNG Kendiri’ untuk Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) dan ‘LINDUNG Kasih’ yang menggantikan Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah (SKSSR).

Sim berkata setiap tahun, PERKESO mengagihkan kembali kira-kira 45 peratus daripada kutipan tahunan berjumlah RM7.6 bilion kepada pencarum iaitu bersamaan RM3.4 bilion dalam bentuk manfaat seperti pencen, faedah, rawatan, dialisis dan rehabilitasi.

Beliau juga berkata penjenamaan LINDUNG adalah selari dengan gagasan Malaysia MADANI yang mengangkat nilai kebersamaan dan karamah insaniah.

“Itulah konsep sebuah masyarakat yang MADANI. Selaras dengan konsep 'tiada sesiapa pun yang akan dipinggirkan... Itulah konsep LINDUNG yang diketengahkan oleh PERKESO pada hari ini,” katanya.

Pada majlis itu, PERKESO turut meraikan lapan individu sebagai Majikan Pesona LINDUNG yang terdiri daripada artis ternama susulan kecaknaan mereka menjaga kebajikan pekerja tanpa culas membayar caruman selain kejayaan membina empayar perniagaan masing-masing.

Ikon yang menerima penghargaan itu termasuk Datuk Seri Siti Nurhaliza Taruddin, Noor Neelofa Mohd Noor, Datuk Dr Mohd Yusof Haslam, Datuk Seri Aliff Syukri dan Christy Ng.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan