AM

Kejayaan Muhammad Zamir Di Jakarta Membanggakan Negara - PM

22/08/2025 04:49 PM

Daripada Farah Najihah Zuraimi

JAKARTA, 22 Ogos (Bernama) -- Kejayaan pelari pecut negara Muhammad Zamir Azman menjuarai acara 100 meter (m) lelaki di Sukan Asia Tenggara (SEA) Pekak 2025 di sini adalah satu pencapaian yang membanggakan negara.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang mengucapkan tahniah kepada Muhammad Zamir, juga berharap kejayaan itu menjadi inspirasi kepada semua demi membina masa depan sukan negara yang lebih inklusif, progresif dan gemilang.

"Tahniah Zamir Azman! Kejayaan menjuarai acara 100 meter Sukan SEA Pekak 2025 dan memecah rekod temasya dengan catatan 11.06 saat adalah satu pencapaian yang membanggakan negara," kata beliau menerusi hantaran di laman Facebook hari ini. 

Terdahulu, trek Pusat Pelatihan Olahraga Pelajar (PPOP) Ragunan di Jakarta Selatan menjadi saksi detik luar biasa apabila tiga atlet olahraga negara termasuk pasangan kembar sapu bersih podium acara 100m pada Sukan SEA Pekak 2025. 

Muhammad Zamir merangkul pingat emas selepas menamatkan larian dengan catatan 11.06 saat meninggalkan rakan senegara, Hazrul Shah Hamri (11.09s) dengan pingat perak dan kembarnya, Muhammad Zumar Azman (11.22s) yang meraih pingat gangsa.

Lebih manis, Muhammad Zamir turut memperbaharui rekod kejohanan yang sebelum ini dipegang juga oleh atlet negara Nur Shahdan Muhamad dengan catatan 11.12s pada edisi sulung di Kuala Lumpur 2022.

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan