AM

KDN Siasat Sarawak Tribune Berhubung Penerbitan Artikel

22/08/2025 04:04 PM

KUALA LUMPUR, 22 Ogos (Bernama) -- Kementerian Dalam Negeri (KDN) menjalankan siasatan terhadap Sarawak Tribune berikutan aduan awam mengenai penerbitan artikel bertajuk Militant Using Press Cover Eliminated pada 12 Ogos.

KDN dalam kenyataan hari ini, memaklumkan tiga individu daripada syarikat penerbitan itu telah dipanggil memberikan keterangan secara berasingan.

Siasatan difokuskan terhadap penerbitan yang berpotensi menimbulkan kegusaran awam, menggugat ketenteraman serta melibatkan kemungkinan pelanggaran syarat permit di bawah Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 (Akta 301).

“KDN memandang serius tindakan menyiarkan artikel tersebut yang menimbulkan kekeliruan dan keresahan dalam kalangan masyarakat.

“Justeru, syarikat akhbar diingatkan supaya lebih teliti, bertanggungjawab dan beretika dalam penerbitan berita,” menurut kenyataan itu.

KDN memaklumkan kesalahan menyiarkan berita tidak benar, mengelirukan atau penerbitan dikategorikan sebagai tidak diingini boleh dikenakan tindakan di bawah Akta 301.

Jika sabit kesalahan, hukuman boleh dikenakan ialah penjara sehingga tiga tahun, denda maksimum RM20,000 atau kedua-duanya sekali, termasuk kemungkinan pembatalan permit penerbitan.

KDN menegaskan tidak akan berkompromi dan tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang cuai dalam penerbitan sehingga boleh menggugat keselamatan dan ketenteraman awam.

Selain itu, tindakan penguatkuasaan yang sewajarnya akan dipertimbangkan selepas siasatan dilengkapkan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan