KUALA LUMPUR, 22 Ogos (Bernama) -- Syed Food Industry Sdn Bhd, anak syarikat Syed Group of Companies, diiktiraf oleh Malaysia Book of Records (MBR) dengan gelaran Most Briyani Dishes Sold in a Year (Hidangan Beriani Paling Banyak Dijual dalam Setahun).
Menerusi kenyataan hari ini, kumpulan berkenaan mengumumkan bahawa pengiktirafan itu dicapai melalui pembekalan sebanyak 1,460,315 hidangan beriani dalam tempoh setahun, sekali gus mengukuhkan kedudukannya sebagai peneraju dalam industri makanan dan katering di Malaysia.
Kejayaan itu juga didorong oleh penyediaan beriani kepada syarikat penerbangan utama, serta pengeluaran inovatif beriani sedia dimakan dalam pelbagai format termasuk sejuk beku, disejukkan, retort, versi siap dihidang, yang membawa cita rasa asli kepada pasaran domestik dan antarabangsa.
"Selain kejayaan mencipta rekod ini, Syed Group juga merupakan pengguna terbesar beras basmati di Malaysia, bahan penting dalam memasak nasi beriani ikonik syarikat itu.
"Pencapaian ini sekali lagi membuktikan komitmen tinggi kumpulan terhadap kualiti, keaslian dan konsistensi dalam menyajikan hidangan paling digemari rakyat kepada jutaan pengguna," menurut kenyataan itu.
Sementara itu, Pengerusi Syed Group of Companies Datuk Syed Jamarulkhan berkata pengiktirafan itu bukan sahaja mencerminkan dedikasi syarikat bagi kecemerlangan kulinari, tetapi juga kepercayaan dan kesetiaan pelanggan serta rakan niaga.
"Di Syed Food Industry, setiap hidangan beriani melambangkan tradisi puluhan tahun, minat dan inovasi, serta anugerah ini memberikan inspirasi kepada kami untuk terus menetapkan penanda aras baharu dalam industri makanan," katanya.
Pengiktirafan ini juga katanya, menandakan satu lagi pencapaian membanggakan dalam legasi kecemerlangan Syed Group, memperkukuh reputasi sebagai pelopor dalam katering berskala besar dan penyelesaian makanan premium di seluruh Malaysia dan peringkat seterusnya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial