AM

Produk Permainan Digital Malaysia Curi Tumpuan Di Ekspo 2025 Osaka

22/08/2025 12:55 PM

KUALA LUMPUR, 22 Ogos (Bernama) -- Produk permainan digital karya syarikat tempatan seperti Upin & Ipin Universe keluaran Les' Copaque, GigaBash oleh Passion Republic Games dan No Straight Roads terbitan Metronomik mendapat sambutan hangat pengunjung sempena Minggu Kementerian Digital di Ekspo 2025 Osaka, Jepun.

Bertemakan “Weaving a Future in Harmony”, Minggu Kementerian Digital yang diterajui Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) telah dirasmikan secara maya oleh Menteri Digital Gobind Singh Deo pada 11 Ogos lepas.

Menurut kenyataan Kementerian Digital acara tersebut menjadi platform utama mempamerkan keupayaan dan potensi negara dalam bidang kreatif digital merangkumi sektor animasi, permainan digital, teknologi imersif serta pembangunan kandungan asli berasaskan harta intelek (IP) tempatan.

Program lima hari yang berakhir pada 15 Ogos lalu menyaksikan syarikat kreatif digital tempatan menyertai pameran dan pelbagai aktiviti interaktif bagi menonjolkan karya inovatif serta imersif.

“Dalam usaha memperkasakan industri kreatif digital dan menonjolkan kepakaran tempatan ke peringkat global, siri Business Pocket Talk dan Fireside Chat telah diadakan pada 13 Ogos, menampilkan suara-suara hebat termasuk wakil MDEC, Metronomik, OMG Studios, Kezerk dan ramai lagi,” menurut kenyataan itu.

Sesi tersebut menjadi wadah perbincangan mengenai peluang pelaburan di Malaysia, penghasilan kandungan berasaskan budaya, transformasi pendidikan melalui teknologi, inovasi kandungan dengan Generative AI (kecerdasan buatan) dan produksi maya serta strategi pembangunan studio permainan digital Asia Tenggara

Menurut kenyataan itu lagi, sesi padanan perniagaan juga dianjurkan pada 12 Ogos dengan kerjasama Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) yang mempertemukan 14 syarikat tempatan bersama rakan industri antarabangsa bagi mempromosikan IP tempatan kepada pembeli dan rakan kongsi global.

"Sesi padanan perniagaan ini menjadi platform penting dalam usaha  memperluas rangkaian perniagaan dan pelaburan antara Malaysia, Jepun dan pelbagai negara lain dengan potensi pelaburan dianggarkan mencecah RM134 juta," menurut Kementerian Digital.

Selain itu, antara aktiviti yang menarik perhatian pengunjung ke Pavilion Malaysia adalah kemunculan karakter animasi popular Upin & Ipin, Boboiboy dan Ejen Ali, selain tayangan siri animasi tempatan serta aktiviti khas mewarna khas untuk kanak-kanak.

"Minggu Kementerian Digital yang berlangsung pada minggu ke-18 penganjuran Ekspo 2025 Osaka ini telah mendapat sambutan luar biasa dengan kehadiran lebih 100,000 pengunjung sepanjang penganjurannya," menurut kenyataan berkenaan.

Majlis perasmian turut menyaksikan pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) antara Unbound dan Fakulti Ekonomi dan Pengurusan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan