AM

KBS Tidak Halang Pengambilan Atlet Naturalisasi, Pembangunan Bakat Tempatan Tetap Keutamaan - Adam Adli

21/08/2025 02:18 PM

KUALA LUMPUR, 21 Ogos (Bernama) -- Kementerian Belia dan Sukan (KBS) tidak menghalang penggunaan pemain naturalisasi atau warisan untuk memperkuat pasukan kebangsaan, namun pembangunan bakat tempatan tetap menjadi keutamaan utama negara, kata Timbalan Menterinya, Adam Adli Abd Halim.

Beliau berkata pengambilan atlet sedemikian adalah tertakluk kepada syarat ketat, termasuk mendapat kelulusan kewarganegaraan yang sah daripada Kementerian Dalam Negeri (KDN) serta mematuhi kriteria yang ditetapkan oleh badan sukan antarabangsa dan persatuan sukan kebangsaan masing-masing.

Menurutnya, pendekatan atlet naturalisasi atau pemain warisan terbukti memberi impak positif dan berperanan sebagai salah satu pemboleh ubah prestasi sukan kebangsaan.

"Sebagai contoh, pada 10 Jun, pasukan bola sepak kebangsaan mencatat kemenangan 4-0 ke atas Vietnam, yang ketika itu berada di ranking ke-109 dunia, dalam perlawanan kelayakan Piala Asia AFC. Dalam perlawanan tersebut, tiga orang pemain naturalisasi telah disenaraikan bersama skuad kebangsaan.

"Kali terakhir pasukan kebangsaan menewaskan Vietnam adalah pada 2014. Kehadiran pemain naturalisasi dan pemain warisan dilihat membantu meningkatkan mutu dan kualiti permainan sukan bola sepak tempatan sekaligus membantu mempertingkatkan prestasi pasukan," katanya. 

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan asal Datuk Seri Saifuddin Abdullah (PN-Indera Mahkota) yang bertanya tentang dasar KBS berkaitan penggunaan pemain naturalisasi dalam pasukan kebangsaan.

Meskipun begitu, Adam Adli menegaskan pengambilan pemain naturalisasi tidak boleh menjejaskan pembangunan bakat tempatan.

"Setiap PSK (Persatuan Sukan Kebangsaan) perlu mengambil kira syarat yang telah ditetapkan oleh pihak berkaitan agar keseimbangan dapat dicapai antara pembangunan bakat tempatan dengan peningkatan prestasi sukan negara melalui pemain naturalisasi," katanya.

Menjawab soalan tambahan daripada Saifuddin mengenai status permohonan Persatuan Bola Keranjang Malaysia (MABA) untuk mengambil dua pemain naturalisasi dan seorang pemain warisan bagi persiapan Sukan SEA Thailand hujung tahun ini, beliau berkata KBS tiada halangan bagi permohonan persatuan itu, namun keputusan akhir terletak di bawah bidang kuasa KDN selaras dengan prosedur sedia ada.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan