AM

Mesyuarat Perkukuh Kerjasama Antara SPA Persekutuan Dan Negeri

20/08/2025 09:16 PM

MELAKA, 20 Ogos (Bernama) -- Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Malaysia (SPA) telah menganjurkan Mesyuarat Suruhanjaya-Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Tahun 2025 sebagai usaha memperkukuh kerjasama strategik serta perkongsian maklumat antara SPA peringkat persekutuan dan negeri.

Kenyataan SPA hari ini memaklumkan mesyuarat itu menjadi platform utama untuk membincangkan amalan terbaik dalam urusan pengambilan dan pengurusan perkhidmatan penjawat awam sekali gus memastikan keberkesanan serta ketelusan proses pelantikan.

“Perbincangan turut menumpukan kepada pemahaman dasar baharu yang diperkenal oleh agensi pusat agar pelaksanaannya di peringkat negeri dan persekutuan selaras dengan keperluan semasa. 

"Di samping itu, mesyuarat ini juga berperanan mengukuhkan jaringan strategik antara semua pihak berkuasa melantik (PBM) demi memperkasakan kerjasama antara persekutuan dan negeri," menurut kenyataan itu.

Terdahulu, mesyuarat dwitahunan itu dipengerusikan Pengerusi SPA merangkap Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan Datuk Seri Jailani Muhamed Yunus dengan kehadiran para pengerusi, ahli suruhanjaya serta setiausaha suruhanjaya perkhidmatan pendidikan, suruhanjaya pasukan polis, sembilan suruhanjaya perkhidmatan negeri serta wakil pengurus sumber manusia dari Melaka, Pulau Pinang, Negeri Sembilan dan Perlis.

Menurut SPA, antara perkara dibincang ialah penambahbaikan proses pelantikan, pengesahan perkhidmatan, kemasukan ke jawatan berpencen, kenaikan pangkat, pertukaran perkhidmatan serta kawalan tatatertib, yang bermatlamat memastikan perkhidmatan awam kekal cekap, telus dan responsif terhadap kehendak rakyat.

Kenyataan itu memaklumkan mesyuarat berkenaan bukan sahaja menjadi medan bertukar-tukar pandangan malah titik tolak kepada pembaharuan, cabaran dan peluang baharu dalam memperkasa sistem perkhidmatan awam agar terus relevan serta mampu memenuhi cabaran abad ke-21.

Dalam pada itu, penganjuran Karnival Kerjaya MADANI SPA Melaka pada 17 Ogos lepas bersempena mesyuarat tersebut juga berjaya menarik lebih 1,500 pengunjung.

"Karnival tersebut menyediakan pelbagai perkhidmatan konsultasi termasuk maklumat pengambilan ke perkhidmatan awam, khidmat padanan jawatan, semakan status permohonan calon dalam Sistem Pendaftaran Pekerjaan SPA (SPA9) serta pendaftaran pekerjaan.

"Selain itu, sesi taklimat kerjaya, perkongsian panduan menduduki ujian psikometrik serta tip menghadiri temu duga turut diadakan sebagai nilai tambah kepada pencari kerja," menurut kenyataan itu.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan