KUALA LUMPUR, 20 Ogos (Bernama) -- Titijaya Land Bhd (Titijaya) mengumumkan anak syarikat milik penuhnya, Titijaya Development (Pulau Pinang) Sdn. Bhd. (Titijaya Development) memeterai perjanjian usaha sama dengan Mines Heights Development Sdn. Bhd (Mines Heights).
Usaha sama berkenaan untuk pembangunan bercampur berorientasikan transit (TOD) dengan anggaran nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM554.30 juta.
Mines Heights merupakan pemilik tanah seluas 1.21 hektar di Taman Connaught, Cheras.
Dalam satu kenyataan hari ini, Titijaya berkata, di bawah terma perjanjian, Titijaya Development akan membangunkan tanah itu menjadi sebuah projek pembangunan bercampur mengikut kelulusan pembangunan dan pelan yang diluluskan termasuk sebarang perubahan selepasnya yang diluluskan oleh pihak berkuasa yang berkaitan.
"Sebagai sebahagian daripada perjanjian, Titijaya Development akan membayar kepada Mines Heights iaitu hak milik tuan tanah bersamaan 16.5 peratus daripada GDV bersih projek tersebut dan tidak kurang daripada RM90 juta.
"Pembayaran akan diselesaikan melalui pertimbangan tunai mewakili 80 peratus daripada nilai hak milik dan baki 20 peratus lagi dalam bentuk lot hartanah, kata pemaju gaya hidup bandar itu.
Titijaya berkata, nilai hak milik pemilik tanah berkenaan ditentukan atas dasar 'pembeli-rela dan penjual-rela' yang melibatkan kajian semula faktor-faktor termasuk potensi pulangan pembangunan, kebolehcapaian dan kesesuaian tanah selain hartanah termasuk potensi pembangunan TOD serta urus niaga tanah terkini di kawasan sekitarnya.
Sementara itu, Pengarah Urusan Kumpulan Titijaya Datuk Lim Poh Yit berkata, lokasi projek yang berdekatan dengan stesen transit aliran massa Taman Connaught menyediakan ketersambungan yang lancar ke seluruh Kuala Lumpur.
"Manakala kemudahan di sekelilingnya termasuk pusat beli-belah, kedai, pejabat dan Universiti UCSI akan meningkatkan lagi daya tarikannya kepada penduduk dan perniagaan.
“Kami terus melihat peningkatan permintaan untuk projek TOD yang terletak di lokasi strategik di seluruh Lembah Klang terutamanya dalam kalangan pekerja bandar dan graduan baharu,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial