AM

Kes Zara Qairina : Kebenaran Dan Keadilan Mesti Ikut Undang-Undang - Saifuddin Nasution

20/08/2025 03:19 PM

PUTRAJAYA, 20 Ogos (Bernama) -- Kebenaran dan keadilan dalam kes yang melibatkan Allahyarham Zara Qairina Mahathir mesti ditegakkan sepenuhnya mengikut undang-undang, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Beliau berkata kebenaran dan keadilan kepada mangsa, tidak boleh ditentukan menerusi perbualan di media sosial atau pendapat umum.

“Kita yang menganjurkan siri demonstrasi, nak cari apa? Nak cari kebenaran. Nak tegakkan keadilan. Jadi apa cara dia? Mesti mengikut lunas hukum dan undang-undang. Kebenaran tak boleh dibuat dengan telan bulat-bulat apa yang doktor patologi yang kita tangkap semalam sebut, (atau percaya) dengan cikgu yang buat teori kata Zara dibunuh, didera dengan mesin basuh.

“Kebenaran dan keadilan mesti melalui proses siasatan undang-undang. Siapa yang paling autoriti untuk buat siasatan undang-undang? Polis, dan itulah yang kita buat,” katanya pada media selepas Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia Peringkat Kementerian Dalam Negeri (KDN) serta Majlis Perhimpunan Bulanan KDN Bagi Bulan Ogos 2025, di sini hari ini.

Saifuddin Nasution berkata pihaknya sedar banyak khabar angin yang tersebar mengenai kematian itu dan ia tidak akan berhenti.

Beliau berkata biarpun beliau telah berkongsi laporan siasatan mengenai kes itu di Dewan Rakyat semalam namun, fitnah dan berita palsu akan terus tersebar.

Saifuddin Nasution berkata setakat ini, sebanyak 195 keterangan saksi telah diambil bagi memastikan siasatan benar-benar lengkap dan menyeluruh.

“Tentunya kita mengambil sedikit masa untuk betul-betul kemas kini dan itulah yang kita serahkan pada hari Isnin lepas yang membawa kepada Jabatan Peguam Negara kemudiannya membuat pengumuman (lima remaja bawah umur didakwa di bawah Seksyen 507C (1) Kanun Keseksaan di Mahkamah Kanak-Kanak Kota Kinabalu hari ini).

“Jadi itu proses yang saya maksudkan, bahawa polis bertindak mesti mengikut lunas undang-undang untuk tujuan mencari kebenaran dan keadilan,” katanya.

Zara Qairina meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth I pada 17 Julai selepas ditemukan tidak sedarkan diri dalam longkang berhampiran asrama sekolah itu pada pagi 16 Julai.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan