AM

Kasut U Diiktiraf Rakan Rasmi Pavilion Malaysia Di Ekspo 2025 Osaka

20/08/2025 01:02 PM

KUALA LUMPUR, 20 Ogos (Bernama) -- Syarikat kasut dari Pantai Timur, Kasut U dinamakan sebagai rakan kasut rasmi Pavilion Malaysia di Ekspo 2025 Osaka sekali gus melakar satu lagi pencapaian membanggakan buat jenama tempatan di pentas global.

Ditubuhkan pada 2002 di Kuala Terengganu dengan nama Kedai Kasut You Sdn Bhd, syarikat itu kini berkembang pesat sehingga muncul sebagai jenama serantau yang mempunyai lebih 50 cawangan di seluruh negara serta aktif di platform e-dagang. 

Pengarah Urusan Kasut U Gan Raymond berkata syarikat itu telah membuktikan bagaimana syarikat Malaysia mampu berkembang daripada perusahaan kecil sehingga mampu meraih pengiktirafan antarabangsa.

Beliau berkata syarikat itu berbangga dapat membekalkan produk kepada pasukan Pavilion Malaysia, dan pengiktirafan berkenaan membuka peluang kepada jenama tempatan diketengahkan di pentas antarabangsa pada acara yang menghimpunkan jutaan pengunjung dari seluruh dunia.

"Apabila pasukan Pavilion Malaysia menyertai Ekspo 2025 Osaka. Ia melambangkan kisah ketabahan, perubahan serta keyakinan jenama Malaysia untuk berada kukuh di pasaran global yang penuh cabaran,” katanya dalam kenyataan itu.

Beliau berkata dalam acara itu, petugas dan penghibur Pavilion perlu berdiri berjam-jam, maka Kasut U telah membuat pilihan yang tepat, iaitu mengutamakan keselesaan berbanding rekaan yang berlebihan.

“Ia membuktikan bahawa rekaan Malaysia lebih menjurus kepada memenuhi keperluan sebenar manusia untuk tempoh panjang dan praktikal. 

“Produk jualan utama kami dipilih kerana keselesaan dan ketahanannya, dan kami memperkenalkan pelapik di bahagian dalam kasut bagi memenuhi tuntutan fizikal persekitaran ekspo,” katanya sambil menambah pemilihan  produk Kasut U untuk pasukan Pavilion Malaysia bukan sekadar soal praktikal, malah  mewakili usaha ke arah kesejahteraan.

Gan berkata tema Pavilion “Weaving a Future in Harmony,” mencerminkan gabungan tradisi dan inovasi Malaysia, dan sebagai jenama berasaskan nilai kekeluargaan tetapi berpandangan jauh dalam rekaan produk serta peluasan pasaran, Kasut U turut menonjolkan kedua-dua gabungan itu.

“Kerjasama itu lebih daripada sekadar penempatan produk. Ia mencerminkan keyakinan kami bahawa rekaan Malaysia mampu bersaing pada peringkat global sambil mendukung tradisi. Keselesaan sangat mustahak dan itulah yang terbaik kami tawarkan,” katanya.

Dengan menjadikan ekspo berkenanan sebagai penanda aras, Gan berkata Kasut U yakin untuk terus mengembangkan perniagaan melangkaui sempadan Malaysia.

“Berpandukan moto ‘Kualiti Adalah Kehidupan’, syarikat ini melabur dalam inovasi rekaan dan kecekapan operasi bagi memenuhi piawaian global. Visi kami adalah untuk menjadi jenama antarabangsa. Ekspo 2025 menjadi detik penting dalam memperkenalkan Kasut U ke seluruh dunia.

“Ketika Malaysia melangkah ke pentas dunia di Osaka, kisah Kasut U mentakrifkan semula makna ‘Buatan Malaysia’: yakni kualiti yang mampu menandingi pesaing global, nilai yang berpaksikan komuniti serta visi berani untuk melangkah ke hadapan,” katanya.

Gan berkata penajaan itu bukan hanya soal komersial semata-mata, tetapi turut menjadi sebahagian agenda tanggungjawab sosial korporat (CSR) syarikat. 

“Dengan menyokong inisiatif yang diterajui kerajaan, jenama berkenaan memperlihatkan bahawa syarikat Malaysia mempunyai tanggungjawab bukan hanya terhadap pemegang saham, tetapi juga kepada reputasi negara pada peringkat antarabangsa.

"CSR bagi Kasut U pada hari ini melangkaui program tempatan dan berperanan sebagai duta Malaysia di pentas dunia,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan