AM

Bantuan, Peruntukan Untuk Kaum India Menyeluruh, Bukan Hanya Tumpu Kepada MITRA - PM Anwar

19/08/2025 02:36 PM

KUALA LUMPUR, 19 Ogos (Bernama) -- Peruntukan dan bantuan yang disediakan untuk masyarakat India disalurkan secara menyeluruh menerusi pelbagai kementerian dan tidak hanya tertumpu pada Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (MITRA) semata-mata, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata terdapat program lain dengan peruntukan besar disediakan di bawah pelbagai kementerian lain yang memberi manafaat kepada kaum itu dalam bidang pendidikan, perumahan dan perniagaan, di samping peruntukan tahunan khusus RM100 juta kepada MITRA.

Perdana menteri berkata sebagai contoh, pemberian Sumbangan Tunai Rahmah (STR) bagi masyarakat India pada 2022 adalah setengah bilion ringgit, manakala untuk 2025 sudah mencecah RM1 billion, sementara skim Jaminan Kredit Perumahan dengan RM1.2 bilion turut disediakan bagi kaum itu.

“Pada 2024, daripada RM100 juta di MITRA, RM98.9 juta telah dibelanjakan dengan memberi manfaat kepada 122,082 masyarakat India.

“Bantuan berikutnya, subsidi pendidikan awal RM9.3 juta, bantuan pengajian tinggi untuk masyarakat India B40 (RM17.63 juta), bantuan komputer riba untuk SJKT (Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil) sebanyak RM2.99 juta melibatkan 6,000 unit komputer secara berperingkat.

“Justeru, pandangan yang mengatakan kerajaan seolah-olah (kaum India) tidak diperdulikan,  peruntukan untuk MITRA tidak diluluskan dengan segera, adalah tidak benar,” katanya pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat.

Perdana Menteri berkata demikian bagi menjawab soalan S. Kesavan (PH-Sungai Siput) berhubung fokus Kerajaan MADANI melalui MITRA atau lain-lain agensi dalam usaha membangunkan sosioekonomi masyarakat India secara menyeluruh.

Anwar berkata bagi tahun 2025, pendekatan yang digunakan kerajaan bagi penyaluran bantuan kepada masyarakat itu berbeza, dengan penyelarasan yang lebih baik melibatkan setiap kementerian dan MITRA.

Bagi projek perumahan masyarakat India di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) misalnya, beliau berkata dana tambahan daripada MITRA akan diselaraskan untuk menampung kekurangan.

“Jadi kalau KPKT belanja RM20 juta, tambah RM5 juta (dana MITRA) untuk diselaraskan, bantuan peralatan makmal ICT (teknologi maklumat dan komunikasi) di 50 SJKT dapat RM5 juta daripada Kementerian Pendidikan dan sebahagian dari MITRA.

“Sebanyak 200 rumah ibadat Hindu ataupun kuil Hindu berdaftar sebagai Pusat Komuniti Setempat seluruh negara dengan peruntukan RM20 juta, selain bantuan one-off pembaikan dan penyelenggaraan kecil rumah kediaman Pekerja Ladang India RM10 juta dari Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri (ICU JPM),” katanya.

Mengenai isu kemiskinan tegar dalam kalangan masyarakat India, Anwar berkata langkah pemusatan program menoktahkan kemiskinan tegar perlu dipertingkatkan dan dibuat secara menyeluruh termasuk membabitkan masyarakat itu.

Beliau seterusnya merujuk kepada kerangka Ekonomi MADANI, dengan pemusatan menokhtahkan kemiskinan tegar secara menyeluruh di setiap negeri dan daerah tanpa membezakan kaum.

“Jumlah orang miskin dalam kalangan Melayu terlalu tinggi kerana majoriti penduduk negara ini adalah Melayu, maka program (bantuan) tentunya jauh lebih tinggi untuk masyarakat Melayu.

“Masyarakat India pula walaupun jumlah penduduk kecil, jumlah yang miskin itu kecil, ketimbang jumlah penduduk Melayu, tetapi ada kelompok masyarakat India yang relatif lebih miskin dan termiskin, itu harus kita tangani, sebab itu pemusatan program menoktahkan kemiskinan tegar itu perlu ditingkatkan, dasar kita jelas,” katanya.

Anwar menjawab soalan tambahan V. Ganabatirau (PH-Klang) berhubung garis panduan yang jelas dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) untuk menoktahkan isu kemiskinan dalam kalangan masyarakat India.

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan