EKONOMI

Konsortium Pelabuhan Kemaman Diminta Kemas Kini Dan Kemuka Cadangan Pembangunan -- Loke

18/08/2025 10:11 PM

KUALA LUMPUR, 18 Ogos (Bernama) – Kementerian Pengangkutan (MOT) telah meminta Konsortium Pelabuhan Kemaman untuk mengemaskini dan mengemukakan cadangan pembangunan Pelabuhan Kemaman selaras dengan Pelan Pembangunan Pelabuhan, Perjanjian Konsesi.

Menterinya, Anthony Loke Siew Fook berkata, MOT mengambil maklum rancangan pembesaran pelabuhan itu dan meminta cadangan tersebut dikemukakan melalui Lembaga Pelabuhan Kemaman. 

“Pada dasarnya MOT sentiasa menggalakkan pelaburan swasta dalam menggiatkan aktiviti maritim. Dengan itu, MOT akan memudahcara mana-mana sektor swasta untuk membangunkan pelabuhan,” katanya ketika menggulung usul perbahasan Rancangan Malaysia Ke13 di Dewan Rakyat hari ini.

Loke juga berkata MOT turut mengambil maklum pengumuman Kerajaan Negeri Kedah berkenaan cadangan sektor swasta untuk membangunkan Pelabuhan Laut di kawasan Sanglang, Kedah.

“MOT tidak menerima sebarang cadangan yang komprehensif daripada sektor swasta untuk maksud pembangunan pelabuhan di kawasan tersebut. Sebarang cadangan bagi pembangunan pelabuhan tersebut masih di peringkat konsep.

“Dengan demikian, penggubalan dan penjajaran had pelabuhan baharu bagi maksud pembangunan pelabuhan di Sanglang di sebelah Kedah dan Perlis adalah tidak berbangkit,” katanya.

Mengulas mengenai isu naik taraf Lapangan Terbang Sandakan dan penerbangan antarabangsa terus ke Hong Kong, Guangzhou, dan Singapura yang masih belum dimulakan, Loke berkata kerajaan sentiasa menggalakkan mana-mana syarikat penerbangan negara atau asing untuk menyediakan perkhidmatan penerbangan antarabangsa secara terus dari luar negara.

“MOT mengambil langkah-langkah seperti yang berikut seperti rundingan dua hala dengan negara-negara asing pada setiap tahun bagi mewujudkan dan meningkatkan hak trafik penerbangan antara Malaysia dan negara tersebut.

“Kita juga telah memasukkan Sandakan sebagai salah satu bandar untuk diliberalisasikan di bawah perjanjian Perjanjian Pelbagai Hala ASEAN mengenai Liberalisasi Penuh Perkhidmatan Penumpang,” katanya.

Loke berkata melalui perjanjian yang telah ditandatangani dan diratifikasikan oleh Malaysia ini, syarikat penerbangan negara-negara ASEAN dibenarkan untuk mengadakan penerbangan di antara mana-mana destinasi ASEAN, tanpa had kekerapan, kapasiti dan jenis pesawat.

“Pada masa yang sama, kita menawarkan pelbagai insentif kepada syarikat penerbangan luar negara yang beroperasi ke mana-mana lapangan terbang negara termasuk ke bandar-bandar utama Sabah oleh Malaysia Airports Holdings Bhd  menerusi program insentif penerbangan,” katanya.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan