KUALA LUMPUR, 18 Ogos (Bernama) -- Sebanyak lapan veteran tentera mula bertugas sebagai warden asrama di dua Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) iaitu di Besut, Terengganu dan Balik Pulau, Pulau Pinang, hari ini.
Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Mejar Jeneral Datuk Semaon Marjuki berkata lantikan itu adalah inisiatif rintis Majlis Amanah Rakyat (MARA) membabitkan empat lelaki dan empat wanita yang telah melepasi ujian serta temu duga.
“Pengalaman, ilmu dan karakter yang diperoleh seseorang veteran ketika berkhidmat mampu membantu membentuk sahsiah pelajar di sekolah berasrama penuh ini.
“MARA menjadikan penugasan lapan veteran ini sebagai kajian rintis dan jika ia menunjukkan kesan positif, lebih ramai veteran tentera akan ditugaskan sebagai warden MRSM,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.
Semaon berkata lebih ramai veteran tentera berpotensi dilantik sebagai warden sekolah berasrama penuh, mencontohi Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) yang kini mengambil lebih 400 bekas tentera sebagai Renjer Komuniti.
Media sebelum ini melaporkan Pengerusi MARA Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata pihaknya memulakan inisiatif rintis melantik pesara tentera dan polis sebagai warden asrama di dua MRSM bermula bulan ini.
Dalam perkembangan lain, Semaon berkata JHEV baru-baru ini mengadakan pertemuan dengan Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) yang turut meneliti keperluan mengambil veteran tentera bekerja di bawah pasukan itu.
Beliau berkata cadangan berkenaan masih di peringkat perbincangan kerana terdapat beberapa aspek yang perlu diperhalusi.
“JHEV sentiasa menyokong usaha mana-mana pihak, sama ada sektor awam atau swasta, yang mahu memanfaatkan kemahiran dimiliki veteran tentera dengan mengambil mereka bekerja,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial