KOTA TINGGI, 18 Ogos (Bernama) -- Johor komited dalam memastikan bekalan air mampan dengan mengguna pakai teknologi baharu termasuk menjadi satu-satunya negeri yang mempunyai jawatankuasa teknikal bagi menilai dan meluluskan projek pusat data yang banyak menggunakan air.
Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi negeri Mohamad Fazli Mohamad Salleh berkata peranan jawatankuasa itu antaranya bagi memastikan perancangan pusat data dilakukan secara komprehensif termasuk dari segi kecekapan penggunaan air terawat.
Beliau berkata jawatankuasa yang dipengerusikannya itu turut bertindak memberikan nasihat kepada pemaju pusat data agar menggunakan teknologi baharu dan mesra alam serta menjimatkan penggunaan air termasuk melibatkan rawatan air kumbahan, air bawah tanah dan air sungai serta sistem penyejukan moden.
"Kita di jawatankuasa teknikal ini sebenarnya, kebimbangan (melibatkan pusat data) bukan berkenaan air atau pun elektrik, tetapi adalah bagaimana pemaju pusat data boleh meneruskan (operasi) pusat data dengan cadangan-cadangan yang kita beri.
“Justeru, kalau (penggunaan) air kita cadangkan sekurang-kurangnya mesti 1.8 liter bagi menyejukkan satu kilowatt (bagi satu Unit Pemprosesan Pusat) CPU. Ini kita hadkan," katanya pada sidang media selepas melawat Loji Rawatan Air (LRA) Semangar, di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai dakwaan Johor bakal berdepan krisis air terawat menjelang 2030 susulan pembangunan pesat pusat data di negeri itu.
Dalam usaha menjadikan Johor sebagai negeri contoh pengurusan air dan hab utama pembangunan pusat data serantau, Mohamad Fazli berkata kerajaan negeri turut melihat kepada penggunaan teknologi baharu, sumber alternatif dan sistem penyejukan moden yang mampu mengitar semula air
Beliau berkata kerajaan negeri dan Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) turut bekerjasama dalam memantau kemajuan projek-projek bekalan sumber air mentah dan air terawat termasuk Takungan Air Pinggiran Sungai (TAPS) Sungai Johor, TAPS Sungai Pontian dan TAPS Sedili yang kini pada peringkat reka bentuk dan dijangka siap pada 2030.
Projek sumber air itu katanya turut disokong dengan pembinaan LRA termasuk LRA Semangar 3 dan LRA Kayu Ara Pasong yang dijangka siap pada 2029 sementara LRA Sungai Sedili Besar pada 2031.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial