NILAI, 14 Ogos (Bernama) -- Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) mahu program Agro Pendidikan Latihan Teknikal dan Vokasional (AgroTVET)@KKDW terus diperkukuh sebagai simbol kemajuan pertanian moden.
Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah Datuk Rubiah Wang berkata usaha itu diyakini mampu melahirkan generasi usahawan tani yang kompeten, inovatif serta berdaya saing sekali gus mengangkat martabat sektor pertanian negara ke persada antarabangsa.
“Ini kerana ia memberi fokus kepada kurikulum pertanian pintar selaras Revolusi Industri 4.0, mekanisasi dan automasi ladang selain penggunaan kecerdasan buatan (AI) dalam sektor pertanian.
“Selain itu, ia turut menumpukan pembangunan industri halal berasaskan agro, pengukuhan kerjasama strategik industri global serta penubuhan Pusat Rujukan Inovasi Agro Serantau,” katanya ketika berucap pada Majlis Konvokesyen Kolej Universiti Agrosains Malaysia (UCAM) kali ke-21 di sini hari ini.
Menurut Rubiah, UCAM bukan sekadar sebuah institusi pendidikan sebaliknya berperanan sebagai nadi Aspirasi Desa MADANI dengan melahirkan graduan yang mampu mengubah komuniti desa daripada penerima bantuan kepada pencipta peluang dan penentu masa depan mereka sendiri.
Beliau berkata UCAM juga terbukti berjaya menyediakan tenaga kerja yang bukan sahaja memenuhi keperluan industri, tetapi memacu pembangunan masyarakat desa dalam pelbagai bidang termasuk pertanian, pengurusan ladang, ternakan, pembangunan desa, sains komputer dan perniagaan.
Rubiah berkata hasrat kerajaan melalui KKDW adalah untuk melihat UCAM menjadi peneraju institusi TVET Pertanian bukan hanya di peringkat nasional malah sebagai hab pertanian terkemuka di peringkat Asia Tenggara.
Terdahulu, sebanyak 467 graduan membabitkan 21 pengajian peringkat Ijazah Sarjana, Ijazah Sarjana Muda, Diploma, Sijil Program Eksekutif dan Sijil Kemahiran Malaysia diraikan pada majlis konvokesyen berkenaan.
Pada majlis itu juga, graduan Ijazah Sarjana Muda Sains Pertanian (Kepujian) Muhammad Fathur Rahman Mohd Sani, 24, menerima Anugerah Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (Graduan Keseluruhan Terbaik) atas kecemerlangannya sepanjang tempoh pengajian.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial