DUNIA

Niaga Hadapan MSM Teruskan Aliran Menaik Pada Akhir Dagangan

13/08/2025 09:59 PM

Oleh Rosemarie Khoo Mohd Sani

KUALA LUMPUR, 13 Ogos (Bernama) -- Niaga hadapan minyak sawit mentah (CPO) di Bursa Malaysia Derivatives (BMD) meneruskan kenaikan pada Rabu, dirangsang oleh kekuatan pasaran minyak sayuran global dan sentimen eksport yang optimis.

Ketua Penyelidikan Komoditi Sunvin Group yang berpangkalan di Mumbai Anilkumar Bagani berkata keputusan China untuk mengenakan duti antilambakan awal sebanyak 75.8 peratus ke atas import kanola dari Kanada, berkuat kuasa 14 Ogos, telah mencetuskan lonjakan niaga hadapan minyak biji sesawi di Bursa Komoditi Zhengzhou (ZCE) China.

Perkembangan itu seterusnya diikuti rapat oleh niaga hadapan minyak kacang soya dan minyak sawit di Bursa Komoditi Dalian (DCE), katanya kepada Bernama. 

“Kekuatan yang menyeluruh dalam pasaran minyak kacang soya luar negara di Amerika Utara dan Selatan, digabungkan dengan permintaan yang kembali meningkat dari India dan China, turut memberikan sokongan tambahan kepada niaga hadapan MSM di BMD,” kata beliau.

Anilkumar berkata eksport minyak sawit Malaysia bagi tempoh 1-10 Ogos meningkat lebih 20 peratus, manakala pengeluaran minyak sawit bagi tempoh sama menurun, menurut data daripada Persatuan Pengilang-Pengilang Minyak Sawit Semenanjung Selatan (SPPOMA).

Beliau juga berkata statistik Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) baru-baru ini, bersama laporan World Agricultural Supply and Demand Estimates (WASDE) yang positif, mewujudkan asas untuk lonjakan harga minyak sayuran.

Laporan WASDE bagi Ogos mengekalkan unjuran pengeluaran minyak sawit dunia bagi 2025/26, dengan Malaysia diunjurkan pada 19.5 juta tan dan eksport sebanyak 16.1 juta tan.

“Bagaimanapun, pengukuhan ringgit berbanding dolar AS telah mengehadkan sebahagian daripada kenaikan dalam niaga hadapan MSM yang didenominasikan dalam ringgit,” kata Anilkumar.

Sementara itu, peniaga minyak sawit David Ng berkata pasaran MSM tempatan turut mengikuti kenaikan harga minyak kacang soya berikutan laporan Donald Trump telah menggesa China untuk “menambah empat kali ganda” pesanan kacang soya dari AS.

Beliau berkata sentimen eksport yang lebih baik pada minggu-minggu akan datang juga menyokong harga MSM.

“Kami mendapati paras sokongan pada RM4,350 setan dan paras rintangan pada RM4,480 setan,” tambah Ng.

Pada penutup dagangan, kontrak bulan semerta Ogos 2025 dan September 2025 masing-masing meningkat RM24 kepada RM4,367 setan dan RM4,387 setan, manakala Oktober 2025 naik RM33 kepada RM4,435 setan.

Kontrak November 2025 menokok RM40 kepada RM4,470 setan, Disember 2025 menambah RM47 kepada RM4,489 setan dan Januari 2026 meningkat RM41 kepada RM4,486 setan.

Jumlah dagangan bagaimanapun susut kepada 97,321 lot daripada 120,621 lot pada Selasa, manakala kepentingan terbuka meningkat kepada 236,360 kontrak daripada 232,784 kontrak sebelumnya.

Harga MSM fizikal untuk Ogos Selatan naik RM10 kepada RM4,390 setan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan