AM

Sekolah Henry Gurney Catat Lulus 100 Peratus SPM 2024 - Shamsul Anuar

13/08/2025 02:17 PM

KUALA LUMPUR, 13 Ogos (Bernama) -- Sebanyak 59 penghuni Sekolah Henry Gurney yang menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024 mencatatkan kelulusan 100 peratus, dengan 40 peratus daripadanya memperoleh sekurang-kurangnya satu A.

Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata pencapaian itu hasil daripada usaha bersepadu pihak sekolah, tenaga pengajar serta pelaksanaan program intervensi akademik dan pemulihan yang dirangka khusus bagi membentuk sahsiah positif dalam kalangan penghuni.

Beliau berkata setakat 9 Julai, terdapat 655 penghuni yang mengikuti program pemulihan di empat Sekolah Henry Gurney di seluruh negara iaitu 412 di Sekolah Henry Gurney Telok Mas, Melaka; Sekolah Henry Gurney Keningau, Sabah (92); Sekolah Henry Gurney Puncak Borneo, Sarawak (142); dan sembilan penghuni wanita di Sekolah Henry Gurney Kota Kinabalu, Sabah.

Shamsul Anuar berkata selain pencapaian akademik, sebanyak 153 penghuni telah mengikuti bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) yang diiktiraf di peringkat nasional melalui Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) sehingga 30 Jun lepas.

“Program ini selaras dengan matlamat utama pemulihan, iaitu menyediakan peluang kedua kepada pesalah muda agar mereka dapat kembali ke pangkuan masyarakat sebagai individu bertanggungjawab, produktif dan berintegriti,” katanya ketika menjawab soalan Zakri Hassan (PN-Kangar) pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Zakri sebelum itu memohon penjelasan daripada Kementerian Dalam Negeri (KDN) tentang bilangan pelajar yang berada di Sekolah Henry Gurney pada 2025 dan setakat mana kejayaan sekolah berkenaan dalam mendidik mereka.

Selain peluang pendidikan, Jabatan Penjara Malaysia turut menyediakan perkhidmatan kaunseling melalui modul bimbingan koreksional yang dilaksanakan oleh guru bimbingan, kaunseling dan pegawai psikologi bagi membangunkan potensi penghuni.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan