EKONOMI

INDUSTRI LADA CATAT KENAIKAN HARGA BERTERUSAN TUJUH BULAN PERTAMA 2025 - CHAN

12/08/2025 08:31 PM

TAWAU, 12 Ogos (Bernama) -- Industri lada tempatan mencatatkan peningkatan harga yang berterusan dalam tempoh tujuh bulan pertama tahun ini, kata Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Chan Foong Hin.

Beliau berkata purata harga bagi lada hitam meningkat 51 peratus kepada RM27,240 setiap tan berbanding RM18,066 setiap tan pada tahun lepas manakala purata harga bagi lada putih turut menokok 43 peratus kepada RM37,407 setiap tan berbanding RM26,164 setiap tan pada tahun lepas.

"Senario harga lada yang memberangsangkan ini dijangka kekal stabil sehingga suku ketiga tahun ini susulan trend pengukuhan mata wang ringgit baru-baru ini," katanya ketika berucap merasmikan program promosi dan galakan tanaman lada di sini hari ini.

Menurutnya komoditi lada menjadi penjana sumber ekonomi kepada 39,449 pekebun lada di Malaysia yang mengusahakan 8,293 hektar kawasan penanaman lada.

"Jumlah itu termasuk 248 pekebun di Sabah yang mengusahakan 41 hektar kawasan penanaman lada. Saya menggalakkan lebih ramai penduduk Sabah mengambil peluang terlibat dengan penanaman lada untuk menambah pendapatan.

"Saya berpandangan bahawa pembangunan tanaman lada di Sabah mampu dilaksanakan dengan mengambil kira kelebihan bentuk muka bumi dan topografi tanah yang berbukit sesuai untuk tanaman lada," katanya.

Chan berkata Kementerian Perladangan dan Komoditi bersama Lembaga Lada Malaysia komited dan bergerak aktif membimbing pengusaha tanaman lada di negara ini antaranya melalui program bantuan seperti program yang diadakan hari ini dan latihan in-situ.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan