AM

PM ANWAR LANCAR ILMU, AI PELBAGAI MOD PERTAMA MALAYSIA

12/08/2025 08:18 PM

KUALA LUMPUR, 12 Ogos (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim melancarkan model kecerdasan buatan (AI) pelbagai mod tempatan, ‘ILMU’, semasa Sidang Kemuncak ASEAN AI Malaysia 2025 yang julung kali diadakan di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) hari ini.

ILMU merupakan model bahasa besar (LLM) pelbagai mod milik Malaysia, yang dilatih menggunakan bahasa dan data setempat untuk memahami budaya, konteks dan realiti harian rakyat negara ini.

Dibangunkan, dimiliki dan dikendalikan sepenuhnya di Malaysia, ia dihasilkan oleh YTL AI Labs dengan kerjasama Universiti Malaya (UM).

ILMU menyimpan data di dalam negara dan memberikan kawalan strategik Malaysia ke atas masa depan AI, memastikan kepimpinan dengan kecerdasan yang berteraskan nilai dan suara kita sendiri.

Nama ILMU merupakan singkatan bagi Intelek Luhur Malaysia Untukmu, mencerminkan nilai teras model iaitu ‘Intelek’, untuk kecerdasan yang peka konteks; ‘Luhur’, bagi asas etika yang berakar pada nilai-nilai Malaysia; ‘Malaysia’, untuk kefasihan budaya dan linguistik; dan ‘Untukmu’ kerana ia dibangunkan  bagi berkhidmat kepada semua rakyat Malaysia.

Turut hadir pada majlis pelancaran itu ialah Setiausaha Agung ASEAN Dr Kao Kim Hourn dan Menteri Digital Gobind Singh Deo.

Sementara itu, Gobind dalam satu kenyataan memuji penubuhan ILMU, yang merupakan inovasi Malaysia oleh YTL AI Labs bagi mencerminkan visi negara untuk masa depan dipacu oleh teknologi, keterangkuman dan kerelevanan budaya.

“Dihasilkan oleh rakyat Malaysia untuk rakyat Malaysia, ILMU menunjukkan keupayaan kita bagi membangunkan infrastruktur AI yang bertaraf dunia sambil mengekalkan identiti linguistik dan budaya kita.

“Ini lebih daripada sekadar teknologi; ia adalah satu langkah ke arah memperkasa rakyat kita, perniagaan kita dan negara kita dalam mengharungi era digital,” katanya.

Pengarah Urusan YTL Power International Bhd Datuk Seri Yeoh Seok Hong berkata ILMU melambangkan komitmen YTL terhadap inovasi yang berakar umbi dalam kepelbagaian warisan budaya dan daya intelektual Malaysia.

 ILMU menurut YTL AI Labs memiliki prestasi setara dengan LLM canggih seperti GPT-4o dan Llama 3.1.

Ia berkata ILMU mencatat skor tertinggi dalam kalangan semua model AI generasi termaju dalam pemahaman bahasa Melayu (MalayMMLU – ujian pengetahuan pelbagai domain dalam bahasa Melayu), sekali gus menunjukkan prestasi yang lebih kukuh untuk input dunia nyata.

ILMUchat (chatbot AI) untuk pengguna akan tersedia untuk akses awal pada Hari Malaysia, 16 September, 2025.

Orang ramai dialu-alukan untuk mendaftar minat mereka di https://www.ilmu.ai.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan