EKONOMI

INDEKS HARGA SEUNIT BESI TURUN 0.2–3.5 PERATUS PADA JULAI 2025 -- DOSM

12/08/2025 02:30 PM

KUALA LUMPUR, 12 Ogos (Bernama) --  Indeks harga besi menunjukkan sedikit penurunan pada Julai 2025 dalam lingkungan -0.2 peratus hingga -3.5 peratus berbanding bulan lepas, kata Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

  Ketua Perangkawan Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin berkata penurunan tertinggi dicatatkan di Kuching (-3.5 peratus), diikuti oleh Sibu (-1.5 peratus) dan Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Melaka dan Negeri Sembilan (-0.8 peratus).

“Bagaimanapun, peningkatan kecil dicatatkan di beberapa kawasan seperti Perak (1.2 peratus) dan diikuti Terengganu serta Kelantan (0.3 peratus),” katanya dalam kenyataan media Indeks Kos Bahan Binaan Julai 2025.

Mohd Uzir berkata indeks harga seunit keratan keluli dan logam menunjukkan peningkatan kecil pada Julai 2025 dengan kadar perubahan bulan ke bulan dicatatkan antara 0.2 peratus hingga 0.5 peratus.

Sebaliknya, indeks harga seunit simen kekal tidak berubah berbanding bulan sebelumnya.

Beliau berkata indeks harga pasir kekal tidak berubah bagi hampir semua kawasan di Semenanjung Malaysia kecuali peningkatan kecil (0.1 peratus) di Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Melaka dan Negeri Sembilan.

“Indeks harga seunit bahan ini mencatat peningkatan di Sabah dan Sarawak antara 0.1 peratus hingga 0.5 peratus dengan peningkatan tertinggi di Kota Kinabalu (0.5 peratus) dan seterusnya Tawau dan Kuching (masing-masing pada 0.2 peratus),” katanya.

Sementara itu, purata harga seunit besi yang terdiri daripada bar bulat keluli lembut dan jenis Mycon 60 “high tensile deformed bars” atau batang logam dengan kekuatan tegangan tinggi, mencatatkan peningkatan kecil (0.2 peratus) dengan purata harga RM3,488.65 bagi setiap tan metrik berbanding bulan sebelumnya (Jun 2025: RM3,480.10 setiap tan metrik).

Purata harga bagi simen Ordinary Portland pula kekal tidak berubah pada RM23.80 bagi setiap karung 50 kilogram. 

DOSM juga melaporkan Indeks Kos Bahan Binaan Bangunan, termasuk bar keluli mengikut kategori bangunan dan kawasan di Semenanjung Malaysia mencatat peningkatan 0.1 peratus hingga 3.5 peratus pada Julai 2025 berbanding bulan sebelumnya.

“Peningkatan itu dicatatkan bagi semua kategori bangunan kecuali di kawasan Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Melaka dan Negeri Sembilan,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan