EKONOMI

IWK, JSW BANGUNKAN AIR PULIH GUNA UNTUK PENUHI PERMINTAAN INDUSTRI PUSAT DATA JOHOR

11/08/2025 03:52 PM

JOHOR BAHRU, 11 Ogos (Bernama) -- Syarikat pembetungan nasional, Indah Water Konsortium (IWK) Sdn Bhd, dan Johor Special Water (JSW) Sdn Bhd menjalin kerjasama strategik bagi membangunkan air pulih guna bagi memenuhi permintaan bekalan air yang semakin meningkat dalam industri pusat data di Johor.

Ketua Pegawai Eksekutif IWK, M. Narendran berkata IWK dan JSW hari ini menandatangani tiga perjanjian bagi membekalkan sumber air alternatif tersebut kepada dua pusat data di negeri ini.

Beliau berkata ia termasuk pembekalan efluen terawat dari IWK melalui sistem agihan bersepadu ke Loji Air Pulih Guna di Bridge Data Centres (BDC) dan Computility Technology (Malaysia), manakala JSW akan membekalkan sumber air alternatif kepada Dayone Data Centre Malaysia II Sdn Bhd (Dayone).

“Melalui perjanjian ini, IWK membekalkan 12 juta liter sehari efluen terawat yang diperoleh daripada Loji Rawatan Kumbahan kepada Loji Air Pulih Guna yang dibina oleh BDC dan Computility,” katanya ketika menerima lawatan Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air Datuk Seri Fadillah Yusof serta Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi ke Loji Rawatan Kumbahan IWK Johor Bahru-Pelangi, di sini hari ini.

Terdahulu, Fadillah dan Onn Hafiz melihat sendiri efluen terawat dari IWK yang disalurkan ke Loji Air Pulih Guna BDC dan Computility sebelum menghadiri Majlis Pengiktirafan Penggunaan Air Alternatif bagi Industri Pusat Data di sini hari ini.

Dalam pada itu, Narendran berkata melalui kerjasama tersebut, IWK akan turut membekalkan kira-kira empat juta liter sehari efluen terawat dari Loji Rawatan Kumbahan Johor Bahru-Pelangi ke Loji Air Pulih Guna BDC di Ulu Tiram.

“JSW akan menyelia penghantaran efluen terawat dan menyelaras dengan pihak berkuasa tempatan bagi mendapatkan semua kelulusan yang diperlukan. Efluen terawat ini akan dipulih guna menjadi air berkualiti tinggi untuk digunakan dalam operasi penyejukan BDC,” katanya.

Menurutnya, pembekalan air pulih guna daripada efluen terawat oleh IWK sebagai penyelesaian bukan minuman, dapat memenuhi permintaan tinggi industri seperti pusat data.

Beliau berkata IWK menghasilkan lebih 7,371 juta liter sehari JLS daripada loji-loji rawatan kumbahan di seluruh negara, dengan 1,067 juta liter sehari efluen terawat dihasilkan di Johor.

“Dengan permintaan pasaran yang kian meningkat terhadap penyelesaian air mampan di Johor, potensi memperluas infrastruktur air pulih guna adalah sangat besar, sekali gus menyokong aspirasi kemampanan negara dan mengurangkan tekanan terhadap sumber air bersih,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif JSW Abdul Rashid Ismail berkata pusat data merupakan fasiliti yang menggunakan sumber air yang tinggi terutama bagi keperluan penyejukan, sekali gus menjelaskan air pulih guna menawarkan alternatif yang boleh diperluaskan serta lebih peka terhadap iklim berbanding sumber konvensional.

Beliau berkata kualiti dan kuantiti efluen terawat juga terbukti selamat dan berkesan untuk digunakan dalam operasi pusat data.

"Kita menerima banyak pertanyaan berhubung bekalan air pulih guna daripada pusat data dan kawasan perindustrian lain termasuk Nusajaya Tech Park, Sedenak Tech Park, Nusa Cemerlang Industrial Park, Pasir Gudang dan Kempas. Ini jelas menunjukkan kedudukan kukuh Johor sebagai hab digital yang semakin pesat membangun,” katanya.

Menurutnya IWK dan JSW juga telah bekerjasama sejak Oktober 2021 dalam memanfaatkan semula efluen terawat daripada Loji Rawatan Kumbahan kepada air pulih guna bagi kegunaan industri bukan minuman.

Kerjasama itu katanya membuktikan perkongsian antara agensi dapat membuka nilai baharu daripada infrastruktur sedia ada, sekali gus memacu pembangunan mampan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan