AM

Sarawak Setuju Bina Jalan Hubung Meluan-Layar

09/08/2025 05:13 PM

SARIKEI, 9 Ogos (Bernama) -- Sarawak bersetuju dengan cadangan pembinaan jalan baharu sepanjang kira-kira enam kilometer bagi menghubungkan kawasan Ulu Entabai dan Ulu Entaih, Meluan di Julau dengan Ulu Penebak, Layar di Betong.

Persetujuan itu dinyatakan Premier Tan Sri Abang Johari Tun Openg ketika merasmikan Jambatan Nanga Lasi di Julau hari ini.

Beliau berkata jalan itu bakal memberikan akses kepada penduduk di kawasan berkenaan ke Betong, seterusnya ke Kuching dengan masa perjalanan kira-kira dua jam setengah.

"Dengan adanya jalan itu nanti, kawasan Meluan bukan lagi jauh di pedalaman tetapi sebahagian daripada bandar raya Kuching.

"Hal ini bermakna adik, kakak kita di rumah panjang di Meluan boleh pergi ke Kuching dalam masa dua jam setengah dan boleh balik hari," katanya sambil menambah bahawa ia memberi peluang kepada penduduk di pedalaman memasarkan produk pertanian mereka di Kuching.

Abang Johari menjangkakan kos pembinaan jalan yang dicadangkan Ahli Dewan Undangan Negeri Meluan Rolland Duat Jubin itu mencecah puluhan juta ringgit.

Sementara itu, Duat berkata selain memberi manfaat kepada 2,500 penduduk rumah panjang termasuk tiga sekolah rendah dan sebuah klinik, jalan itu kelak akan mempercepat usaha penyukatan tanah hak adat bumiputera di kawasan terbabit.

Cadangan pembinaan jalan terbabit disokong Timbalan Premier Datuk Amar Douglas Uggah Embas yang turut hadir pada majlis berkenaan.

Abang Johari turut meluluskan beberapa projek pembangunan lain termasuk naik taraf jalan tanah kawasan Nanga Lasi/Balut/Suchong bernilai RM92 juta, projek Jalan Lijan bernilai RM80 juta, projek Jalan Nanga Entaih/Rh Sang Lasa, Kemalih dan 13 jalan penghubung bernilai RM150 juta, serta pembinaan jalan ladang bernilai RM5 juta menjadikan keseluruhan peruntukan berjumlah RM327 juta.

Jambatan keluli Nanga Lasi sepanjang 96 meter dibina bagi menggantikan jambatan gantung sedia ada yang uzur, sekali gus menyediakan laluan yang lebih selamat, pantas dan selesa kepada penduduk setempat.

Siap pada 16 Jan lepas, jambatan itu memberi manfaat langsung kepada kira-kira 2,250 penduduk di kawasan sekitar dan menghubungkan kawasan Nanga Lasi-Balut, serta memudahkan pergerakan penduduk, barangan dan perkhidmatan antara kawasan tersebut dengan bandar utama seperti Sarikei dan Sibu.

-- BERNAMA



 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan