POLITIK

Tiada Ketegangan Dalam UMNO Susulan Keputusan Tengku Zafrul Keluar Parti - Ahmad Zahid

02/06/2025 08:30 PM

Daripada Syamsiah Sahat

LONDON, 2 Jun (Bernama) -- Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata tidak wujud sebarang ketegangan sehingga menghangatkan suhu dalaman UMNO berikutan keputusan Menteri Perdagangan, Pelaburan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz keluar parti.

Presiden UMNO itu berkata kebanyakan akar umbi berpandangan tindakan Tengku Zafrul meletak jawatan dalam parti adalah wajar.

“Saya tidak nampak ‘suhu kepanasan’ berlaku dalam kalangan UMNO, eloklah keluar kalau tidak ada kesetiaan di dalam parti... jangan ganggu beliau kerana beliau sedang mengerjakan haji, moga-moga ketenangan menyelubungi minda beliau,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan pramesyuarat bersama delegasi Malaysia sempena lawatan kerja empat hari ke United Kingdom yang bermula hari ini.

Jumaat  lepas, Tengku Zafrul menerusi hantaran di Facebook memaklumkan bahawa beliau telah menghantar surat peletakan jawatan dalam UMNO untuk menyertai PKR.

Menjawab soalan mengenai rombakan Kabinet jika tempat Tengku Zafrul sebagai Menteri Perdagangan, Pelaburan dan Industri  perlu diganti, Ahmad Zahid berkata perbincangan perlu diadakan secara dalaman antara Kerajaan Perpaduan.

“Hak mutlak pelantikan menteri ini adalah atas (budi bicara) Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim).

" ...elok kita adakan perbincangan secara dalaman supaya tidak timbul interpretasi yang pelbagai dalam perkara ini,” katanya.

 Terdahulu, beliau berkata UMNO mahu supaya kuota tujuh menteri penuh di dalam Kabinet Persekutuan dikembalikan kepada parti berkenaan susulan tindakan Tengku Zafrul itu.

-- BERNAMA 



 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan