AM

Suntikan Imunisasi Tambahan MR Bermula Isnin Ini - KKM

02/08/2025 06:17 PM

PUTRAJAYA, 2 Ogos (Bernama) -- Kementerian Kesihatan (KKM) akan melaksanakan Aktiviti Imunisasi Tambahan Measles-Rubella (MR SIA) bagi kanak-kanak berumur enam hingga 59 bulan, bermula 4 Ogos hingga 12 Okt ini di seluruh negara.

Inisiatif itu menyasarkan kanak-kanak yang lahir antara 1 Ogos 2020 hingga 31 Januari 2025, sebagai langkah memperkukuh program imunisasi sedia ada dengan meningkatkan dan memulihkan tahap imuniti kelompok (herd immunity).

“Program ini juga menyokong matlamat negara ke arah penghapusan penyakit Measles menjelang 2030, selain bertujuan meningkatkan liputan imunisasi dan memberi perlindungan awal bagi mencegah penularan lebih meluas,” menurut kenyataan KKM, hari ini.

Measles dan Rubella merupakan penyakit yang sangat mudah berjangkit dan boleh menyebabkan komplikasi serius seperti jangkitan telinga, radang paru-paru (pneumonia), radang otak (ensefalitis), sawan serta kematian.

Di bawah Program Imunisasi Kebangsaan, vaksin MMR (Measles, Mumps dan Rubella) diberikan pada usia sembilan dan 12 bulan, manakala di Sabah, satu dos tambahan vaksin Measles diberikan pada usia enam bulan.

KKM memaklumkan, liputan imunisasi keseluruhan di Malaysia melebihi 95 peratus setiap tahun, termasuk pada 2024. Namun begitu, hanya 62 peratus daripada daerah mencatatkan liputan MMR melebihi 95 peratus pada tahun lepas.

“Sasaran minimum 95 peratus adalah penting bagi membentuk perlindungan kelompok dan mengawal penularan penyakit,”menurut  kenyataan itu.

Statistik menunjukkan peningkatan hampir dua kali ganda kes Measles pada 2024, dengan 3,791 kes dilaporkan berbanding 2,002 kes pada 2023, selain pertambahan wabak kepada 231 berbanding 112 pada tahun sebelumnya.

Sebanyak 44.1 peratus daripada kes membabitkan kanak-kanak bawah lima tahun, manakala 28.9 peratus melibatkan bukan warganegara — dengan 84.3 peratus daripada mereka tidak pernah menerima sebarang vaksin.

Tiga kematian turut dilaporkan pada tahun 2024, membabitkan kanak-kanak bukan warganegara berusia lapan bulan, tiga tahun dan 17 tahun — kesemuanya tidak pernah divaksin.

KKM menyeru ibu bapa dan penjaga agar membawa anak-anak yang layak menerima suntikan tambahan vaksin MR secara percuma.

“Janji temu akan dihantar menerusi aplikasi MySejahtera atau boleh dibuat sendiri melalui aplikasi sama. Kanak-kanak yang layak juga boleh hadir secara walk-in ke klinik kesihatan kerajaan,” menurut KKM.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan