AM

Kebakaran Di Gunung Semanggol: Lebih 22 Hektar Dipadamkan

01/08/2025 11:54 PM

IPOH, 1 Ogos (Bernama) -- Kebakaran belukar seluas 23.47 hektar (58 ekar) di Kg Tersusun Tebuk Panchor, Gunung Semanggol, Bagan Serai yang memasuki hari kedua berjaya dikawal pasukan bomba.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak Sabarodzi Nor Ahmad dalam kenyataan memaklumkan setakat petang tadi, 22.66 hektar (56 ekar) kebakaran hutan yang bertompok-tompok berjaya dipadamkan sepenuhnya dan kira-kira 0.8 hektar (2 ekar) masih terbakar.

“Pemadaman dari bawah menggunakan pam jentera dan pam angkut, satu aliran 1,000 kaki bersumberkan air dari pili bomba yang berdekatan.

“Selain itu, kawasan yang terlibat dengan kebakaran dibahagikan kepada empat sektor dan keanggotaan dipecahkan kepada enam hingga tujuh orang bagi setiap sektor,” katanya.

Beliau berkata operasi turut dibantu Unit Udara menerusi pesawat AW 139 yang melakukan teknik penyiraman atau water bombing sebanyak 20 kali.

Beliau berkata antara cabaran operasi ialah pemadaman api di kawasan yang mempunyai talian arus elektrik bervoltan tinggi yang memerlukan lebih kewaspadaan.

“Selain itu, kawasan pengambilan air bagi penyiraman juga agak cetek menyebabkan terdapat lumpur yang memasuki timba air," katanya.

Sabarodzi berkata proses pemadaman dihentikan 7 petang tadi dan akan disambung esok dengan penambahan anggota dan logistik.

“Pemadaman melalui kaedah ground attack oleh anggota pemadaman dan water bombing menggunakan pesawat akan bagi memastikan sisa tompokan bara dipadamkan sepenuhnya agar tiada kemerebakan atau nyalaan semula, pemecah api (fire break) turut akan dilaksanakan di lokasi yang dikenal pasti,” katanya.

Terdahulu, kebakaran sejak 3 petang semalam dikatakan berpunca daripada cuaca panas berpanjangan dan kali terakhir kebakaran berlaku di kawasan tersebut adalah pada 2023.

-- BERNAMA 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan