KUALA LUMPUR, 31 Julai (Bernama) -- Kerajaan menetapkan empat sasaran dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) sebagai sebahagian usaha persediaan untuk beralih menuju negara tua menjelang 2043.
Menurut dokumen RMK13 yang dikeluarkan Kementerian Ekonomi hari ini, empat sasaran itu ialah kadar pertumbuhan penduduk mencapai 1.1 peratus; 50,000 bilangan penjaga berkemahiran; 38 peratus kadar penyertaan tenaga kerja dalam kalangan penduduk berusia 60 hingga 64 tahun serta tiga produk baharu bagi bilangan peranti perubatan dan peralatan sokongan untuk warga berusia yang dikomersialkan, kesemuanya menjelang 2030.
“Persediaan menuju negara tua adalah antara tumpuan yang akan diberi keutamaan dalam RMK13 dan akan diperhebat dengan mewujudkan ekosistem penjagaan jangka panjang (LTC) yang mampan, mempersiap pasaran buruh, kemahiran dan pendidikan, menyesuaikan keutamaan fiskal dan menambah baik perlindungan sosial serta meningkatkan kesejahteraan warga berusia,” katanya.
Dokumen itu memaklumkan empat strategi dikenal pasti dan di bawah strategi mewujudkan ekosistem penjagaan jangka panjang yang mampan, satu perundangan dan tatakelola berkaitan LTC akan diperkenal bagi membangunkan ekosistem LTC yang mampan.
Menurut dokumen itu, perundangan berkaitan LTC akan digubal bagi menyeragamkan dasar dan peraturan merentas agensi selain memastikan perkhidmatan yang berkualiti, mudah diakses serta mampu dibayar.
“Bagi tujuan ini, satu entiti khusus akan dikenal pasti untuk mengawal selia ekosistem penjagaan termasuk pusat penjagaan kanak-kanak, orang kurang upaya dan warga berusia serta pusat pengajian agama yang menyediakan kemudahan kediaman.
“Pihak berkuasa tempatan akan digalakkan untuk membangunkan pelan tindakan bagi memperluas penyediaan perkhidmatan LTC pada peringkat lokaliti,” katanya.
Selain itu, di bawah strategi mempersiap pasaran buruh, kemahiran serta pendidikan, akta dan peraturan berkaitan perburuhan serta Akta Umur Persaraan Minimum 2012 [Akta 753] akan disemak semula.
“Cadangan untuk meningkatkan umur persaraan wajib penjawat awam mengikut skim perkhidmatan akan dikaji bagi membolehkan semakan semula Akta Pencen 1980 [Akta 227] dilaksanakan. Pemakaian Garis Panduan Pelaksanaan Aturan Kerja Fleksibel juga akan digalakkan bagi memberi keanjalan kepada pekerja yang mempunyai halangan untuk bekerja berdasarkan aturan kerja sedia ada,” menurut dokumen itu.
Menerusi strategi menyesuaikan keutamaan fiskal dan menambah baik perlindungan sosial, lebih banyak infrastruktur mesra usia akan disediakan dengan kerjasama pihak swasta selain melaksanakan penambahbaikan sistem perlindungan sosial lebih menyeluruh dan terangkum untuk meningkatkan keberkesanan bantuan dan kecekapan perbelanjaan awam.
“Tumpuan akan diberikan kepada usaha untuk mereformasi skim Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bagi memastikan persaraan yang mampan dan simpanan yang mencukupi. Dalam hubungan ini, pengasingan caruman KWSP kepada dua komponen iaitu simpanan persaraan dan skim pencen akan diteroka,” menurut dokumen itu.
Selain itu, platform digital khusus akan dibangunkan untuk menggalakkan pindahan tunai secara tetap daripada anak-anak kepada ibu bapa bagi menjamin kelangsungan hidup selepas usia persaraan dan memperkukuh peranan institusi keluarga.
Sementara itu, di bawah strategi meningkatkan kesejahteraan warga berusia, pusat sehenti bagi menyediakan penyelesaian berasaskan teknologi untuk masyarakat menua akan diwujud melalui gabungan kepakaran industri dan penyelidik tempatan.
Pusat ini akan memberi tumpuan dalam penghasilan dan pengkomersialan peranti perubatan, peralatan sokongan dan makanan tambahan bernutrisi untuk warga berusia.
“Usaha ini akan meningkatkan potensi Malaysia sebagai hab teknologi global bagi pembangunan sistem sokongan menggunakan teknologi termaju dan inovasi terkini yang turut memanfaatkan warga berusia,” menurut dokumen itu.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial