KUALA LUMPUR, 31 Julai (Bernama) -- Pelbagai aktiviti interaktif menarik menanti pengunjung di reruai Padiberas Nasional Berhad (BERNAS) sempena Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Kebangsaan (HPPNK) 2025 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), Kota Kinabalu bermula esok hingga Ahad ini.
Ini termasuk pengalaman sensori beras bagi mengenali keunikan dan kepelbagaian varieti padi Malaysia serta peraduan teka berat beras, dengan dua pemenang berpeluang menerima bekalan beras percuma selama setahun.
BERNAS dalam kenyataan hari ini memaklumkan orang ramai yang berkunjung ke reruai interaktif BERNAS di Aras 4, Dewan Konvensyen Sipadan berpeluang menerokai kaedah padi ditanam serta bagaimana pesawah disokong dan peranan setiap rakyat Malaysia dalam memastikan bekalan makanan negara kekal terjamin.
“Keterjaminan makanan bermula dengan kesedaran. Apabila rakyat memahami jerih perih di sebalik sepinggan nasi, mereka akan lebih menghargainya dan itulah kekuatan sebenar negara,” menurut kenyataan itu.
Sebagai rakan strategik kerajaan dalam agenda keterjaminan makanan, peranan BERNAS tidak terhad kepada pengurusan import beras sahaja, malah turut memacu transformasi industri padi tempatan menerusi inovasi, pelaburan serta kerjasama rapat dengan komuniti pesawah.
Sementara itu menurut BERNAS, tumpuan utama tahun ini ialah Program SMART Sawah Berskala Besar (SMART SBB) - Model Ala Sekinchan di Kota Belud yang diperkenalkan pada 2022 hasil kerjasama rapat antara agensi kerajaan negeri dan Persekutuan.
Menurut kenyataan itu, pada musim pertama tahun ini, projek rintis di Kampung Jawi-Jawi, Kota Belud mencatatkan peningkatan hasil sebanyak 21 peratus, meningkat dari 3.79 metrik tan per hektar (MT/Ha) kepada 4.59 MT/Ha, sekali gus meningkatkan pendapatan pesawah dan pengeluaran beras domestik di Sabah.
"Program itu kini berkembang ke 10 lokasi di seluruh Kota Belud melibatkan lebih 80 pesawah aktif dan menggabungkan amalan moden, latihan, bantuan kewangan dan penggunaan jentera untuk memodenkan pertanian dan meningkatkan taraf hidup pesawah luar bandar," menurut kenyataan itu.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial