KUALA LUMPUR, 31 Julai (Bernama) -- Peruntukan RM51 bilion kepada sektor keselamatan di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) membuktikan komitmen kerajaan untuk menjadikan keselamatan sebagai tunjang utama kestabilan dan kemajuan negara.
Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata dana besar itu akan memacu pelbagai inisiatif penting termasuk pemodenan operasi keselamatan dan penambahbaikan kebajikan anggota di barisan hadapan.
“Dengan peruntukan RM51 bilion kepada sektor keselamatan, ini satu isyarat jelas bahawa kerajaan mengiktiraf keselamatan sebagai tiang seri kepada kestabilan dan kemajuan negara,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.
Beliau turut menzahirkan penghargaan atas penekanan serius kerajaan terhadap kebajikan warga keselamatan antaranya penyediaan kuarters untuk mereka, melibatkan lebih 82,000 unit pelbagai fasa pembinaan dan baik pulih.
“Penyediaan 1,368 unit kuarters baharu Polis Diraja Malaysia dan 3,088 unit kuarters Angkatan Tentera Malaysia telah siap, ditambah 8,501 unit lagi sedang dibina serta 69,141 unit kuarters sedia ada yang sedang dibaik pulih menjadi langkah bermakna dalam menjaga kesejahteraan mereka dan ahli keluarga masing-masing,” katanya.
Saifuddin Nasution berkata usaha berterusan dalam RMK13 untuk meningkatkan infrastruktur, kemudahan dan sokongan kepada warga keselamatan amat dialu-alukan serta wajar diberi pujian kerana ia membuka ruang kepada prestasi cemerlang anggota.
“Kita tidak boleh mengharapkan pasukan keselamatan kita untuk berkhidmat dengan cekap dan berdedikasi sekiranya keperluan asas mereka seperti tempat tinggal yang selesa, persekitaran yang kondusif serta jaminan sosial diabaikan,” katanya.
Beliau berkata pihaknya turut menyambut baik usaha kerajaan memodenkan sistem imigresen negara melalui Sistem Imigresen Bersepadu Nasional dan penggunaan teknologi termaju seperti kecerdasan buatan yang disifatkan tepat pada masanya dalam mendepani cabaran keselamatan semasa.
“Pendekatan ini membolehkan pasukan keselamatan negara berfungsi dengan efisien, responsif dan strategik dalam menangani cabaran semasa serta meningkatkan keberkesanan kawalan keselamatan di sempadan darat dan maritim khususnya dalam menghadapi ketegangan geopolitik dan isu-isu keselamatan serantau seperti di Laut China Selatan,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial