SHAH ALAM, 31 Julai (Bernama) -- Yayasan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI hari ini menyumbang RM78,000 kepada 14 penerima yang mencipta kejayaan cemerlang dalam bidang sukan, pendidikan dan pengupayaan.
Ketua Yayasan Ahmad Azri Zainal Nor berkata sumbangan itu membuktikan komitmen Yayasan MBI dalam membantu serta memberi galakan kepada generasi muda untuk terus cemerlang dan mengharumkan nama negeri.
"Dalam konteks pembangunan sukan, nama MBI memang sudah tidak asing lagi bagi mereka yang memerlukan suntikan dana kerana kerajaan negeri tidak pernah terlepas memberi dorongan serta bantuan kepada mereka yang mempunyai potensi mencipta kejayaan.
"Siri sumbangan yang kita serahkan sebelum ini membuka mata banyak pihak untuk membuat permohonan dan MBI akan membantu mereka yang mempunyai potensi untuk mencapai kecemerlangan pada masa akan datang," katanya pada sidang media Program Serahan Sumbangan Yayasan MBI di sini hari ini.
Antara penerima adalah pasukan Monster Vicious (e-sukan) yang mencipta kejayaan dalam saingan Liga Profesional Mobile Legends Bang Bang (MPL) Malaysia Musim Ke-15 iaitu sebanyak RM50,000, sembilan individu yang cemerlang dalam sukan taekwondo, memanah, tinju, bola sepak dan pemotoran pula menerima keseluruhan RM22,000, manakala RM6,000 kepada lima penerima yang berjaya dalam bidang akademik, pendidikan, pengupayaan dan ehsan kematian.
Ahmad Azri berkata Yayasan MBI akan meneruskan inisiatif berkenaan bagi memastikan lebih banyak kejayaan dicipta khususnya membabitkan generasi muda yang berpotensi mengharumkan nama negeri dan negara.
"Setiap tahun kita memperuntukkan RM1 juta untuk pembangunan atlet serta pendidikan. MBI sentiasa bersedia untuk merealisasikan hasrat kerajaan negeri melahirkan generasi muda yang berjaya,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial