AM

Pindaan Akta Racun, Perluas Penguatkuasaan Perangi Salah Guna Racun Dan Bahan Psikotropik

30/07/2025 01:16 PM

PUTRAJAYA, 29 Julai (Bernama) -- Pindaan Akta Racun 1952 (Akta 366) menunjukkan komitmen berterusan kerajaan khususnya Kementerian Kesihatan (KKM), dalam menangani penyalahgunaan bahan terkawal melalui pendekatan penguatkuasaan lebih mantap, inklusif dan menyeluruh.

KKM dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) dalam satu kenyataan bersama hari ini memaklumkan Akta Racun 1952, merupakan undang-undang utama yang mengawal semua aspek berkaitan penggunaan, pemilikan dan pengedaran racun serta bahan psikotropik di Malaysia.

“Cadangan pindaan ini bertujuan meningkatkan keberkesanan penguatkuasaan terhadap kesalahan penyalahgunaan racun dan bahan psikotropik.

“Ia juga bertujuan memastikan tindakan lebih pantas, menyeluruh dan responsif dapat diambil dalam menangani ancaman terhadap kesihatan awam dan keselamatan negara,” kata KKM dan KDN.

Dewan Rakyat semalam meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Racun (Pindaan) 2025 bagi memperkasakan penguatkuasaan terhadap aktiviti haram melibatkan penyalahgunaan racun dan bahan psikotropik.

RUU itu diluluskan dengan lebih suara bersetuju selepas dibahas 12 Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang.

Antara perkara yang diberi perhatian dalam pindaan tersebut ialah pemerkasaan kuasa pegawai diberi kuasa, latihan dan pemantauan serta penyelarasan kawalan terhadap senarai racun dan bahan terlarang termasuk bahan dalam produk vape.

Pindaan itu antara lain turut meperluas kuasa penguatkuasaan kepada semua anggota polis tanpa mengira pangkat dan pegawai lain yang dilantik oleh Menteri Kesihatan, termasuk daripada kementerian atau agensi lain sekiranya diperlukan.

Menurut kenyataan KKM dan KDN itu di bawah peruntukan sedia ada, hanya tiga kategori pegawai diberi kuasa penguatkuasaan iaitu Pegawai Penguat Kuasa Dadah (ahli farmasi dalam perkhidmatan awam), pegawai polis berpangkat Inspektor ke atas dan pegawai kanan Kastam.

“Namun dalam amalan, tugas rondaan dan pemeriksaan lazimnya dilaksanakan pegawai rendah polis seperti konstabel dan koperal. Oleh itu, perluasan kuasa kepada anggota polis tanpa mengira pangkat akan mempertingkatkan kecekapan serta capaian operasi penguatkuasaan.

“Selain itu, terdapat kawasan yang tidak mempunyai kehadiran tetap pegawai berkuasa di bawah akta ini. Bagi menutup jurang ini, RUU turut memperuntukkan kuasa kepada Menteri Kesihatan untuk melantik pegawai lain tertakluk kepada terma dan syarat, bagi membantu pelaksanaan penguatkuasaan apabila perlu,” kata KKM dan KDN.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan