JOHOR BAHRU, 23 Julai (Bernama) -- Sebanyak 70 buah bas pelancongan di Johor dipasang dengan pelekat rasmi Tahun Melawat Malaysia 2026 (VM2026) dan Tahun Melawat Johor 2026 (VJ2026) sebagai sebahagian daripada usaha mempromosikan sektor pelancongan negara khususnya di negeri itu.
Timbalan Pengarah Tourism Malaysia Wilayah Selatan Awang Shawal Awang Sulaiman berkata inisiatif berkenaan bertujuan memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai destinasi pelancongan utama dunia, selain menjadikan Johor sebagai pintu masuk utama pelancong dari rantau Asia Tenggara.
“Inisiatif ini dilakukan untuk menarik lebih ramai pelancong terutama dari luar negara datang ke negara ini terutama Johor dan juga kita hendak menggalakkan pelancongan domestik, iaitu rakyat dari negeri lain datang ke Johor sebab terdapat banyak tempat menarik boleh dikunjungi.
“Sebanyak 70 buah bas di bawah Pertubuhan Muafakat Pengusaha dan Pemandu Bas akan ditampal dengan pelekat rasmi kempen ini, yang turut diberikan kepada bas pelancongan dan van persiaran lain sebagai usaha mempergiat promosi serta meningkatkan kesedaran masyarakat dan pelancong,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Pelekat Kenderaan Tahun Melawat Malaysia 2026 bersama Persatuan Muafakat Bas Negeri Johor di Asyuk Travel & Tour, Pasir Gudang di sini hari ini.
Inisiatif berkenaan adalah kerjasama antara Tourism Malaysia Wilayah Selatan, Pertubuhan Muafakat Pengusaha dan Pemandu Bas Negeri Johor serta Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) Johor.
Awang Shawal berkata Tourism Malaysia optimis kolaborasi bersepadu dan penglibatan semua pihak mampu memperkukuh ekosistem pelancongan negara, sekali gus membuka lebih banyak peluang ekonomi kepada rakyat tempatan dan pengusaha industri pelancongan.
Turut hadir Pengarah MOTAC Johor Norazlin Abu Mutalib serta Timbalan Pengarah Tourism Johor Mohd Amin Kadiman.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial