AM

SMP 2025: Pesta Buku Pulau Pinang Jadi Tumpuan

18/07/2025 12:17 PM

Oleh Erma Idayu Mohd Yusof

BATU KAWAN, 18 Julai (Bernama) -- Pesta Buku Pulau Pinang 2025 yang diadakan sempena Sambutan Minggu Perpaduan (SMP) Peringkat Kebangsaan 2025 menjadi medan bagi pelajar untuk “memburu” bahan bacaan berkualiti pada harga istimewa.

Acara yang berlangsung di Pavilion Perpustakaan Malaysia di pekarangan Stadium Batu Kawan, di sini menarik perhatian ramai dengan lebih 50 reruai syarikat penerbitan terkenal menawarkan pelbagai jenis bahan bacaan seperti novel, buku latihan pelbagai peringkat dan komik.

Dibawakan khas oleh Perbadanan Perpustakaan Awam Pulau Pinang (PPAPP), pesta buku berkenaan antara terbesar di utara dengan menampilkan penerbit, penulis dan pembekal buku terus kepada pengunjung.

PPAPP memaklumkan pesta itu bukan sekadar transaksi jual beli buku, tetapi juga platform pendidikan, budaya dan perpaduan yang menghimpunkan pelbagai aktiviti menarik untuk segenap lapisan masyarakat.

"Kami (PPAPP) juga tampilkan kartunis tersohor, Ibrahim Anon, 59, atau lebih dikenali sebagai Ujang kepada pengunjung," menurut PPAPP.

Pesta buku kali pertama diadakan pada edisi ketiga SMP Peringkat Kebangsaan itu bermula 10 pagi hingga 10 malam bermula semalam hingga Sabtu, manakala 10 pagi hingga 6 petang pada Ahad.

Murid Tahun Empat Sekolah Kebangsaan Seri Saujana Indah, Nibong Tebal, Maizatul Syasya Mohamad Muaz, 10, berkata dia dan rakan-rakan mengambil peluang berkunjung ke Pesta Buku Pulau Pinang kerana mahu membeli beberapa buku latihan dan komik.

"Saya beli empat buku latihan berharga RM10 sahaja, cikgu beritahu kalau di kedai luar harganya lebih mahal kira-kira RM5 sebuah buku. Jadi, saya tidak mahu lepaskan peluang untuk dapatkan buku pada harga murah,” katanya sambil menambah dia mengunjungi pesta itu dengan mengikuti rombongan sekolah yang diiringi beberapa guru.

Bagi pelajar Tingkatan Lima, Nur Amira Izzati Mohd Nasir, 17, dia tidak melepaskan peluang membeli beberapa buku latihan sebagai persiapan menghadapi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

“Sangat menjimatkan kerana saya dapat beli beberapa buku latihan SPM pada harga diskaun yang tidak diperoleh di kedai buku biasa,” katanya.

Sebanyak 35 aktiviti menarik menanti pengunjung sempena SMP 2025 bermula semalam hingga Ahad ini termasuk pameran Rumah KAMI (rumah etnik), Perkampungan Etnik Kadazan Dusun dan Orang Asli, Pameran Malaysia Tanah Airku serta pameran Susur Masa oleh Jabatan Muzium Malaysia.

Pelbagai perkhidmatan secara terus kepada rakyat disediakan termasuk diskaun saman Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), serta pengurangan kompaun pihak berkuasa tempatan seperti Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP).

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan