KUALA BERANG, 29 Jun (Bernama) -- Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) memilih Kampung Buluh dekat sini sebagai lokasi pelaksanaan inisiatif Kampung Angkat MADANI RELA yang memanfaatkan lebih 600 penduduk.
Kenyataan RELA hari ini memaklumkan bahawa Sekolah Kebangsaan (SK) Tengku Ampuan Intan dan SK Kemat di sini turut diisytihar sebagai Sekolah Angkat MADANI agensi berkenaan.
Menurut kenyataan itu, pelbagai projek telah dirangka untuk kerja-kerja pembangunan dan naik taraf kemudahan di Kampung Buluh yang melibatkan peruntukan sebanyak RM1 juta.
“RELA Malaysia telah merancang pelbagai projek termasuk penyelenggaraan dan naik taraf sistem saliran dan longkang, penurapan semula serta pembesaran jalan di beberapa lokasi di kawasan Kampung Buluh.
"Pemasangan lampu limpah dan lampu solar di kawasan tertentu juga akan dilaksana untuk kemudahan dan keselamatan penduduk," menurut RELA.
Kenyataan itu menyebut projek lain yang dirancang termasuk naik taraf wakaf komuniti, kerja-kerja penyelenggaraan hakisan tanah serta naik taraf fasiliti sukan dan kawasan parkir surau.
Majlis Pelancaran Kampung Angkat MADANI dan Sekolah Angkat MADANI RELA telah disempurnakan oleh Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail petang tadi.
"Terdahulu, YB Menteri bersama-sama penduduk kampung bergotong-royong membaiki rumah seorang anggota RELA yang rosak melalui program Khidmat Bakti RELA MADANI.
"Beliau juga meninjau pelaksanaan projek yang telah diluluskan bagi menaik taraf kawasan tempat letak kenderaan Surau An-Nur Tanah Lot, Padang Tara dan Dataran Kejat," menurut kenyataan itu.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial