LABUAN, 29 Jun (Bernama) -- Pantai Layang-Layangan yang merupakan antara destinasi hujung minggu popular bakal dibangunkan semula bagi meningkatkan daya tarikannya sekali gus merangsang sektor pelancongan di pulau ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa berkata pelan pembangunan berkaitan sedang dirangka untuk menaik taraf kemudahan di pantai berkenaan yang terkenal dengan keindahan pemandangan matahari terbenam selain menjadi lokasi festival wau dan aktiviti bersama keluarga.
“Pembangunan semula di Pantai Layang-Layangan adalah sebahagian daripada komitmen untuk menaik taraf dan menambah nilai destinasi pelancongan di Labuan.
“Kami masih di peringkat perancangan, tetapi tujuannya jelas untuk mengembalikan populariti pantai berkenaan dan menjadikannya lebih menarik kepada penduduk tempatan serta pelancong,” katanya kepada Bernama selepas menyambut ketibaan pelancong dari Kota Kinabalu di Terminal Feri Antarabangsa Labuan di sini.
Dr Zaliha berkata usaha menaik taraf itu bukan sahaja akan meningkatkan daya tarikan di pantai itu, malah turut memberi manfaat kepada penjaja dan peniaga makanan di kawasan berkenaan seterusnya membantu meningkatkan ekonomi setempat
Beliau berkata menjadi komitmen kerajaan Persekutuan untuk memperkukuh potensi pelancongan Labuan termasuk mengenal pasti dan membangunkan lokasi menarik di seluruh pulau ini bagi menyokong kedudukan Labuan sebagai hab pelancongan.
“Projek menaik taraf yang dirancang ini dijangka merangkumi penambahbaikan kemudahan, kerja-kerja mencantikkan kawasan serta peningkatan prasarana awam bagi menampung jumlah pengunjung yang semakin meningkat,” katanya.
Beliau berkata pembangunan semula itu merupakan sebahagian daripada program penambahbaikan pelancongan Labuan yang sedang dilaksanakan oleh Perbadanan Labuan di bawah seliaan Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP).
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial