BACHOK, 26 Jun (Bernama) -- Kelantan menyasarkan untuk menyumbang secara signifikan kepada pengeluaran bawang merah negara dengan keluasan tanaman keseluruhan 30.85 hektar melibatkan tujuh jajahan di negeri ini.
Menteri Besar Datuk Mohd Nassuruddin Daud berkata pelaksanaan projek tanaman bawang adalah langkah strategik dalam memperkukuh keterjaminan makanan negara dan mengurangkan kebergantungan terhadap bawang import.
"Projek tanaman bawang adalah satu inisiatif penting yang bukan sahaja membantu meningkatkan pendapatan usahawan tani negeri, malah menyumbang ke arah kestabilan bekalan makanan negara.
"Sehingga kini, 26.85 hektar tanah telah diusahakan melibatkan 52 usahawan tani di 37 lokasi dan pelaksanaannya akan terus diperluas kepada 30.85 hektar merangkumi Bachok, Pasir Mas, Pasir Puteh, Jeli, Kuala Krai, Machang dan Tanah Merah," katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Projek Tanaman Bawang Negeri Kelantan 2025 di Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) di Telong, di sini hari ini.
Beliau berkata sekiranya berjaya, kawasan tanaman seluas 26.85 hektar berkenaan bakal mengeluarkan 108 tan metrik bawang bernilai kira-kira RM700,000 dalam tempoh tiga bulan tanaman.
Mohd Nassuruddin berkata Jabatan Pertanian Negeri Kelantan cukup komited menjayakan projek perintis itu dengan RM1.4 juta diperuntukkan tahun ini susulan kejayaan pelaksanaan awal tahun lepas.
"Kita sedia maklum, keperluan bawang negara bergantung kepada import seperti dari India dan China dengan jumlah import pada 2022 mencecah 685,400 tan metrik atau RM1.58 bilion. Ini satu angka yang membimbangkan dan memerlukan tindakan tuntas," katanya.
Beliau berkata Kelantan merupakan antara negeri yang diberi kepercayaan oleh Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan untuk menjadi peneraju projek ini bersama negeri seperti Perak, Selangor, Perlis, Pulau Pinang dan Pahang.
"Kerajaan negeri akan terus mempergiatkan kerjasama strategik dengan pihak Persekutuan bagi memastikan sasaran pengeluaran bawang negara dapat direalisasikan dengan jayanya menjelang 2030, sekali gus mengurangkan kebergantungan bawang import sebanyak 30 peratus," katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial