KUALA LUMPUR, 26 Jun (Bernama) -- Beberapa perkara dalam kerangka Akta Perkhidmatan Parlimen 2025 (PSA) sedang diperincikan sebelum akta itu dapat dikuatkuasakan sepenuhnya, kata Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul.
Beliau berkata perkara yang diperincikan itu akan dimaklumkan dan diluluskan pada Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Parlimen Kelima Belas bagi Dewan Rakyat yang dijadualkan berlangsung pada 21 Julai ini.
“Insya-Allah dalam masa sebulan dua kita akan siapkan seluruh kerangka pelaksanaan. Pada minggu pertama Mesyuarat Kedua Parlimen nanti kita akan letakkan makluman ini kepada Ahli Parlimen kerana ada beberapa perkara kena dapatkan kelulusan Dewan.
“Selepas kelulusan diperoleh, kita akan teruskan dengan semua gerak kerja pelaksanaan,” katanya kepada pemberita pada program Perjumpaan Bersama Yang Dipertua Dewan Rakyat dan Gotong-Royong Warga Parlimen Malaysia di sini hari ini.
Mac lepas, Rang Undang-Undang (RUU) Perkhidmatan Parlimen 2025 diluluskan di Dewan Rakyat sekali gus menyaksikan Perkhidmatan Parlimen bakal mempunyai kuasa autonomi untuk menentukan dasar dan tadbir urus Parlimen Malaysia selepas 33 tahun.
Kelulusan itu menandakan satu kejayaan besar dalam usaha reformasi institusi yang dihasratkan Kerajaan MADANI dengan membawa pentadbiran negara kembali ke landasan melalui penggubalan RUU berkenaan bagi membolehkan Parlimen berfungsi sebagai institusi yang benar-benar bebas dan berdaulat.
Akta Perkhidmatan Parlimen pertama kali diperkenalkan pada 1963 sebelum dimansuhkan pada 1992.
Sementara itu, Johari berkata program hari ini merupakan pertama seumpamanya yang diadakan bertujuan untuk merapatkan lagi hubungan dalam kalangan warga Parlimen dengan pengisian program lebih bermakna dan beliau berhasrat untuk mengadakan lebih banyak program seperti itu pada masa akan datang.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial