KUALA LUMPUR, 23 Jun (Bernama) -- Inisiatif Peralihan Kluster Perindustrian (TIC) di Bintulu, Sarawak berpotensi menyumbang tambahan RM12 bilion kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Selain itu, beliau berkata inisiatif tersebut juga dijangka mewujudkan 19,000 peluang pekerjaan baharu serta mengurangkan sebanyak 21.35 juta tan pelepasan karbon menjelang 2040.
“Usaha ini selari dengan aspirasi negeri ke arah karbon sifar dan memperkukuh kedudukan Sarawak sebagai peneraju industri hijau negara,” kata beliau menerusi hantaran di laman X, hari ini.
Terdahulu hari ini Anwar mempengerusikan Mesyuarat Majlis Ekonomi Digital dan Revolusi Perindustrian Keempat Negara (MED4IRN) Bil. 3/2025, wadah penting untuk menilai kemajuan dan menetapkan arah baharu ekonomi digital negara.
Perdana Menteri berkata semasa mesyuarat tersebut beliau tertarik dengan pembentangan terkait hasrat Sarawak membangunkan TIC di Bintulu.
Justeru, beliau berkata, kerajaan bersetuju mengangkat TIC sebagai agenda nasional memandangkan ia adalah langkah strategik yang menyatukan syarikat dan institusi awam untuk memacu pertumbuhan ekonomi hijau, membuka peluang pekerjaan berkemahiran tinggi dan mengurangkan pelepasan karbon.
Sementara itu, mesyuarat tersebut turut menyentuh mengenai pelaksanaan GovTech Malaysia, termasuk aplikasi MyGOV Malaysia yang berfungsi sebagai gerbang digital tunggal kerajaan.
“Melaluinya, rakyat boleh berurusan dengan pelbagai agensi kerajaan secara dalam talian tanpa perlu menunggu di kaunter.
“Ini adalah bukti kesungguhan Kerajaan untuk mendekatkan perkhidmatan kepada rakyat secara mudah, cekap dan telus,” kata beliau.
Semasa mesyuarat tersebut, Anwar berkata beliau turut menekankan kepentingan peluasan pelaksanaan MyDigital ID ke sektor swasta.
“Kita mesti membina ekosistem digital yang selamat, menyeluruh dan dipercayai bukan hanya dalam urusan kerajaan, tetapi dalam seluruh kehidupan harian rakyat dan aktiviti perniagaan masa depan,” kata beliau.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial